PDRM akan semakin bersinar di bawah Mohd Khalid

Datuk Seri Mohd Khalid Ismail (duduk) diumumkan sebagai Ketua Polis Negara (KPN) ke-15.
Datuk Seri Mohd Khalid Ismail (duduk) diumumkan sebagai Ketua Polis Negara (KPN) ke-15.
A
A
A

PADA 20 Jun 2025, sejarah baru tertulis dalam kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, diumumkan sebagai Ketua Polis Negara (KPN) ke-15 menggantikan Tan Sri Razarudin Husain.

Pelantikan ini yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (4) dan (5) Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, membawa banyak signifikan, bukan sahaja dari sudut operasi keselamatan negara, malah dari perspektif akademik, perundangan dan pengurusan strategik.

Fasal (4) menyebut pelantikan bagi menyandang jawatan Ketua Polis Negara hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Suruhanjaya Pasukan Polis manakala Fasal (5) pula menyebut sebelum bertindak mengikut Fasal (4), Yang di-Pertuan Agong hendaklah menimbangkan nasihat Perdana Menteri...

Jelas di sini bahawa lantikan Ketua Polis Negara adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang harus dihormati semua pihak termasuk masyarakat awam.

Yang di-Pertuan Agong sudah pasti mempertimbangkan semua aspek—kompetensi, integriti, hierarki dan keperluan semasa negara—dalam memperkenankan pelantikan tersebut.

Datuk Seri Mohd Khalid Ismail
Datuk Seri Mohd Khalid Ismail

Berdasarkan kepada latar belakang beliau, lantikan Mohd Khalid yang dilahirkan pada 8 April 1965 di Manong, Perak, ini amat bersesuaian sekali.

Beliau mempunyai kelulusan akademik yang amat kukuh, bermula dengan Diploma Pentadbiran Awam dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), diikuti dengan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan seterusnya Ijazah Sarjana dalam Comparative Laws daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Artikel Berkaitan:

Gabungan akademik dalam bidang pentadbiran dan undang-undang ini adalah aset penting yang menjamin kepimpinan beliau dalam PDRM tidak sekadar berlandaskan pengalaman operasi tetapi juga dipacu oleh pemikiran undang-undang yang strategik.

Jarang ditemui KPN dengan latarbelakang mantap dalam bidang undang-undang.

Pemahaman yang mendalam tentang struktur perundangan akan membolehkan beliau memperkasa institusi polis sebagai penjaga undang-undang negara dengan lebih efisien dan berintegriti.

Pengalaman Luas dalam Perkhidmatan Polis

Mohd Khalid juga bukanlah satu nama asing dalam pasukan keselamatan negara walaupun beliau jarang diberikan publisiti.

Pada 20 Jun 2025, sejarah baru tertulis dalam kepimpinan PDRM apabila Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, diumumkan sebagai Ketua Polis Negara (KPN) ke-15.
Pada 20 Jun 2025, sejarah baru tertulis dalam kepimpinan PDRM apabila Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, diumumkan sebagai Ketua Polis Negara (KPN) ke-15.

Lihatlah sahaja pengalaman luas beliau melalui pelbagai jawatan yang pernah digalas beliau sepanjang perkhidmatan beliau:

• Cawangan Khas Bukit Aman: 1987-1999

• Cawangan Khas Gombak: 2002-2004

• DSP FCCC Cawangan Khas Bukit Aman: 2008-2010

• Supt Ancaman Ektremis Sosial Cawangan Khas Bukit Aman: 2010-2013

• Supt Perlindungan Keselamatan Cawangan Khas Bukit Aman: 2013-2014

• Atase Polis Kedutaan Malaysia di London: 2014-2018

• Ketua Cawangan Khas Pahang: 2018-2021

• Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman: 2021-2022

• Timbalan Pengarah I Cawangan Khas Bukit Aman: 2022-2023

• Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman: 2023-2025

Satu sebab mengapa beliau kurang dikenali adalah kerana 'nature' tugas beliau selama lebih tiga dekad banyak tertumpu dalam Cawangan Khas (Special Branch), sebuah entiti penting yang bertindak sebagai mata dan telinga negara.

Cawangan Khas mempunyai sembilan unit utama (E1 hingga E9) yang meliputi risikan teknikal, sosial, luar negara, politik, ekonomi, keselamatan, pentadbiran, anti-keganasan serta penyelidikan dan kesetiausahaan.

Penguasaan beliau terhadap semua unit ini menempatkannya sebagai individu yang benar-benar memahami landskap ancaman moden, dari ekstremisme, pengintipan, sabotaj hingga perang maklumat.

Pelantikan beliau sebagai KPN juga bukanlah satu anomali atau kali pertama berlaku.

Pada tahun 2017 Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun yang ketika itu merupakan Pengarah Cawangan Khas turut pernah dilantik sebagai Ketua Polis Negara.

Ini membuktikan bahawa pemilihan daripada kalangan pengarah Cawangan Khas adalah sesuatu yang sah dan berdasarkan merit serta keperluan negara.

Malah, gred Pengarah Cawangan Khas adalah setara dengan Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN) dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) menjadikannya salah satu daripada tiga calon yang disaring oleh Suruhanjaya Pasukan Polis dan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pertimbangan.

Peranan Strategik dan Sifat Kerahsiaan Cawangan Khas

Cawangan Khas ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1952, dengan sejarahnya bermula sejak zaman penjajahan British menerusi Civil Security Service dan Malayan Security Service. Sejak Perang Komunis dan Darurat, Cawangan Khas kekal sebagai benteng pertama dalam menangkis ancaman subversif.

Hari ini, ia terus memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan dalaman dan kestabilan negara.

Berbeza dengan jabatan-jabatan lain yang lebih "terang" kejayaan Cawangan Khas tidak dipaparkan di media.

Anggotanya digelar "Eagle Eye" kerana keupayaan mereka menjalankan tugas secara senyap namun berkesan.

Kerahsiaan adalah tradecraft mereka. Mereka tidak melayani sidang media dan tidak mendedahkan kejayaan secara terbuka, tetapi keberkesanan mereka terletak pada ketiadaan ancaman yang berleluasa. Inilah sebabnya mengapa ramai yang tidak mengenali Mohd Khalid, tetapi pada masa sama, beliau adalah individu yang amat boleh dipercayai.

Kedudukan selaku Pengarah Cawangan Khas juga membolehkan beliau mempunyai akses terus kepada Menteri Dalam Negeri (MDN), Perdana Menteri dan juga Yang di-Pertuan Agong yang berbeza dengan jabatan lain yang melapor terus kepada KPN.

Oleh itu, pelantikan Mohd Khalid ke jawatan tertinggi ini adalah kesinambungan logik berdasarkan kepercayaan dan saluran strategik sedia ada.

Malah kewibawaan Mohd Khalid juga sudah semakin diakui oleh banyak pihak yang mengenali beliau.

Wartawan kanan jenayah, Syahril Abdul Kadir, menulis: “Mohd Khalid adalah orang lama dalam Cawangan Khas. Berpuluh tahun dalam jabatan tersebut. Kelayakan akademiknya pun hebat. Ada diploma, ada ijazah sarjana muda, ada master. Beliau juga pernah dihantar bertugas sehingga ke London. Dalam erti kata lain, atas kertas, tak nampak ada cacat cela anak jati Perak itu untuk sampai ke tahap ini.”

Pendakwah, Dr Wan Ji Wan Hussin, pula menyebut: “Seorang yang baik. Amat dedikasi dengan kerjanya. Murah senyuman. Nilai diri beliau yang amat tinggi. Mengkagumkan.”

Peguam Mohd Fitri Asmuni, bekas rakan sekelas Mohd Khalid di UIAM, pula menulis: “Semasa sama-sama belajar di AIKOL dulu, beliau salah seorang “abang polis” yang sangat merendah diri dan murah senyuman”.

Apa pun, Mohd Khalid sebenarnya tidak perlu membuktikan dirinya kepada dunia luar kerana trek rekod beliau telah membuktikan segala-galanya.

Sebaliknya, cabaran beliau kini adalah untuk menyesuaikan struktur PDRM dalam era keselamatan digital, memperkukuh kepercayaan awam dan memastikan PDRM akan menjadi institusi yang semakin bersinar.

*Dr Nik Mawardi Mohamad ialah penganalisis sosio-politik tempatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!