Iran terus serang Israel, guna peluru berpeledak berbilang

TEHERAN – Iran pada Isnin melancarkan satu lagi gelombang serangan peluru berpandu dan dron ke atas wilayah Israel dalam fasa ke-21 Operasi Janji Benar III, melibatkan peluru berpandu generasi baharu termasuk jenis berpeledak berbilang (multi-warhead) yang dikatakan berjaya menembusi sistem pertahanan udara Israel.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Perhubungan Awam Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menyatakan bahawa fasa terkini ini dilancarkan sekitar jam 12 tengah hari waktu tempatan, sebagai tindak balas terhadap pencerobohan berterusan rejim Zionis ke atas Iran sejak 13 Jun lalu.
Kenyataan itu menyebut bahawa fasa terbaru ini melibatkan pelancaran peluru berpandu bahan api pepejal dan cecair secara serentak, bersama serangan gabungan dron pintar.
Antara peluru berpandu digunakan termasuk: Kheibar Shekan (Qadr-H) – buat pertama kali digunakan dengan teknologi berpeledak berbilang, Fattah-1, Emad, Qadr dan Hajj Qassem.
Kheibar Shekan generasi ketiga itu dikatakan direka dengan ketepatan tinggi, kuasa pemusnah luar biasa, dan mengguna pakai taktik kejutan baharu untuk menggagalkan pertahanan musuh.
Menurut laporan media Israel, siren kecemasan dibunyikan selama 35 minit tanpa henti di seluruh wilayah jajahan termasuk di utara, tengah dan selatan, menandakan skala serangan yang belum pernah terjadi.
Beberapa bandar seperti Safed, Lachish, Ashkelon, Ashdod dan Beit She’an dilaporkan mengalami kerosakan ketara. Loji janakuasa Ashdod dilaporkan diserang secara langsung, menyebabkan gangguan bekalan elektrik berskala besar di seluruh wilayah.
IRGC menegaskan bahawa serangan ini akan diteruskan dengan strategi baharu dan akan terus memanfaatkan kelemahan sistem pertahanan udara Israel, sambil menyatakan bahawa “operasi dron tempur tidak akan berhenti walau sesaat”.
Gelombang ke-21 ini menyusul selepas gelombang ke-20 semalam yang turut menggunakan Kheibar Shekan, sebagai respons segera terhadap serangan udara Amerika Syarikat ke atas kemudahan nuklear Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan.
Menurut IRGC, sebanyak 40 peluru berpandu pelbagai jenis dilancarkan pada Ahad, menyasarkan infrastruktur ketenteraan dan perisikan rejim Zionis.
Sejak Operasi Janji Benar III dilancarkan, lebih 21 gelombang serangan dilaksanakan Iran, sebagai balasan terhadap pembunuhan lebih 400 rakyat Iran termasuk komander tentera, saintis nuklear, profesor universiti, atlet dan pelajar.
Operasi ini digambarkan oleh Teheran sebagai “serangan berasaskan impak”, bertujuan untuk melumpuhkan keupayaan rejim Zionis secara strategik dan berterusan.
IRGC turut menyatakan bahawa tindakan agresif Israel dan sekutunya bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah bakal mengundang balasan yang lebih dahsyat sekiranya tidak dihentikan.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

