Israel dakwa Iran lancar gelombang serangan peluru berpandu baharu

BAITULMAQDIS – Tentera Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan bahawa satu lagi gelombang peluru berpandu telah dilancarkan dari Iran ke arah wilayah Israel, pada malam Ahad.
Menurut kenyataan IDF, bunyi siren kecemasan kedengaran di beberapa kawasan selepas sistem pertahanan mengesan peluru berpandu yang dilepaskan dari Iran.
“Beberapa minit lalu, siren dibunyikan di beberapa lokasi di seluruh Israel susulan pengesanan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran ke arah negara ini,” kata kenyataan tersebut.
Susulan itu, orang awam diarahkan untuk berlindung di tempat perlindungan bawah tanah, manakala sistem pertahanan udara negara diaktifkan sepenuhnya bagi menghadapi kemungkinan serangan lanjut.
Jurucakap agensi perubatan kecemasan Israel, Magen David Adom, berkata pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkaitan kecederaan akibat serangan, kecuali beberapa kes kegelisahan dan individu yang cedera ringan ketika menuju ke tempat perlindungan.
Bagaimanapun, seorang pegawai Israel memaklumkan kepada CNN bahawa hanya sebutir peluru berpandu dilancarkan Iran dalam serangan tersebut, dan ia berjaya dipintas sepenuhnya oleh sistem pertahanan udara Israel.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan objek dipercayai peluru berpandu melintasi ruang udara di atas Baitulmaqdis, manakala bunyi siren kedengaran di beberapa kawasan lain sebagai amaran kepada penduduk supaya segera mencari perlindungan.
Arahan berlindung telah ditarik balik beberapa jam kemudian.
Dalam perkembangan berkaitan, saluran berita bersekutu kerajaan Iran, Nour News, melaporkan bahawa sistem pertahanan udara Iran telah memintas beberapa sasaran musuh yang dikesan di ruang udara sekitar ibu kota Tehran. – CNN
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

