Seorang lagi ADUN merangkap Pembantu Menteri ditahan SPRM

KOTA KINABALU – Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga Pembantu Menteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM150,000 berkaitan pengeluaran lesen cari gali di negeri ini.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 9.30 pagi Isnin.
Beliau dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2023 hingga 2024 dengan meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang individu bergelar Datuk, kononnya bagi membantu menguruskan permohonan lesen cari gali.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
“Suspek telah dilepaskan selepas keterangannya diambil dengan jaminan sebanyak RM50,000 tanpa deposit, bersama seorang penjamin. Suspek juga akan didakwa dalam masa terdekat,” katanya.
Untuk rekod, suspek merupakan ADUN Sabah kedua yang ditahan SPRM setakat minggu ini, yang turut melibatkan isu pengeluaran lesen cari gali di negeri ini.
Selain dua ADUN terbabit, seorang lagi lelaki bergelar Datuk turut ditahan kerana disyaki terlibat memberi dan menerima rasuah berjumlah RM200,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
