Rasuah pinjaman RM11.3 juta: Dua lagi pegawai bank direman

KOTA KINABALU - Dua lagi bekas pegawai bank ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berhubung kes menerima suapan sebanyak RM300,000 bagi meluluskan pinjaman bernilai RM11.3 juta.
Tahanan reman itu susulan daripada lima suspek termasuk seorang pegawai bank yang direman selama tujuh hari pada Khamis.
Perintah reman terhadap dua lelaki berusia lingkungan 20-an itu dikeluarkan Majistret Siti Aisyah Umar Baki di Mahkamah Sesyen Sandakan.
Tempoh tahanan reman bagi kedua-dua individu tersebut adalah bermula Jumaat hingga 29 Mei ini.
Sebelum itu, lima lelaki berusia antara 20 hingga 40-an disyaki menerima suapan daripada seorang pemilik syarikat sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan menggunakan dokumen sokongan palsu.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti rasuah tersebut sejak tahun 2022 hingga 2024, melibatkan kelulusan pinjaman berjumlah keseluruhan RM11.2 juta kepada 39 pemohon.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
