30 tahun tanpa gimik murahan
Haiza pernah dicop tiada disiplin, namun kekal relevan tanpa cerita karut

BERADA tiga dekad dalam industri seni bukan satu perjalanan yang mudah. Namun bagi penyanyi, pengacara dan penyampai radio, Haiza, angka 30 bukan sekadar nombor.
Sebaliknya, ia adalah simbol kematangan, perjuangan serta sebuah perjalanan yang mendewasakan.
Mengimbas kembali permulaan kerjayanya, Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 45, memberitahu bahawa beliau memulakan karier seni ketika berusia 14 tahun.
Bakatnya diasah melalui persembahan di majlis kenduri kahwin sebelum ditarik masuk sebagai penyanyi dangdut oleh sebuah syarikat rakaman.

"Pada ketika itu, penyanyi seperti Shima dan Ella banyak memberi pengaruh, tetapi saya tidak pandai menyanyikan lagu bernada tinggi. Jadi, saya ditarik dan diasah bakat sebagai penyanyi dangdut.
"Cuma, tidaklah seperti Amelina kerana lagu untuk saya ketika itu sesuai dengan usia saya. Bila rakam, boleh dengar saya nyanyi ‘straight’ sahaja. Ada cikgu cakap saya dan Amelina punya lenggok dangdut berbeza.
"Masa itu rasa biasa sahaja kelainan itu, tetapi bila semakin dewasa, rasa macam teruk betul saya menyanyi," ujar Haiza ketika ditemui pada majlis pelancaran Dag Dig Dug 3.0 yang turut menyaksikan kehadiran ramai rakan media dan peminat, diraikan secara eksklusif di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands pada Sabtu lalu.
Meskipun berjaya mengharungi tiga dekad dalam industri tanpa kontroversi besar, Haiza tidak terlepas daripada melalui pengalaman pahit sepanjang perjalanan seninya.
"Cerita paling sedih yang pernah saya lalui ialah apabila keluar laporan di akhbar mengatakan saya tiada disiplin. Insiden itu berlaku ketika saya masih bersekolah dan saya terlewat hadir ke program siaran Muzik Muzik bagi pencalonan single kedua saya, Mana Tahan.
"Sebenarnya saya tidak dapat pulang lebih awal dari sekolah kerana kelas tambahan. Bila sudah pulang dan bersiap, dalam perjalanan ke studio saya tersangkut dalam kesesakan jalan raya.
"Ketika saya tiba, pengacara ketika itu, Amy Mastura, mengumumkan saya tidak dapat membuat persembahan pada hari itu," imbas Haiza.
Walaupun insiden tersebut menyebabkan dirinya pernah dicap sebagai bermasalah disiplin, ia tidak menggugat semangatnya untuk terus bertahan dalam industri.

Nafas Baharu
Sempena sambutan 30 tahun penglibatannya dalam industri seni, Haiza tampil dengan versi baharu single klasiknya Dag Dig Dug, yang diberi nafas segar dan dinamakan Dag Dig Dug 3.0.
Lagu ciptaan Dedi Abdul Kadir Nughra itu dirakam semula di Bandung, Indonesia, dengan susunan muzik baharu oleh Diki Suwarjiki, manakala proses mixing dan mastering disempurnakan oleh Ari Yujeng.
Susunan muzik kali ini diberi sentuhan berentak ‘koplo’ dan moden, namun masih mengekalkan elemen dangdut yang sebati dengannya sejak usia remaja.
“Bila kembali ke studio untuk proses rakaman, banyak perkara baharu yang saya pelajari bersama mereka. Ini juga merupakan satu pengalaman menarik buat saya dalam perjalanan tiga dekad ini.
“Lagu asal dirakamkan ketika saya berusia 15 tahun... Rakaman semula kali ini sesuai dengan hasrat dan keinginan semua untuk mendengar suara yang lebih matang, seiring dengan usia,” jelas Haiza yang turut menjalani penggambaran video muzik di Bandung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

