Selangor ungguli MIISMAM Kebangsaan 2025

Selangor muncul juara keseluruhan MIISMAM Peringkat Kebangsaan Kali Ke-11 - Foto JAIS
Selangor muncul juara keseluruhan MIISMAM Peringkat Kebangsaan Kali Ke-11 - Foto JAIS
A
A
A

SHAH ALAM – Selangor muncul juara keseluruhan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-11 yang berlangsung selama tiga hari di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, Perak.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Selangor kembali merebut gelaran juara keseluruhan selepas berjaya meraih tiga gelaran johan, tiga naib johan dan tiga tempat ketiga dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.

Antara acara yang menjadi penyumbang utama kepada kejayaan itu termasuk acara inovasi, kalam jamaie serta syarahan Bahasa Melayu (lelaki).

Antara acara yang menjadi penyumbang utama kepada kejayaan itu termasuk acara Inovasi, kalam jamaie serta syarahan Bahasa Melayu lelaki
Antara acara yang menjadi penyumbang utama kepada kejayaan itu termasuk acara Inovasi, kalam jamaie serta syarahan Bahasa Melayu lelaki

Menurut kenyataan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), prestasi cemerlang kontinjen negeri itu adalah hasil komitmen tinggi para pelajar, guru pembimbing serta sokongan padu pelbagai pihak yang berganding bahu dalam usaha melahirkan generasi berilmu dan berakhlak.

“Persembahan peserta bukan sahaja menyerlah dari segi penguasaan ilmu, tetapi turut menonjol melalui buah fikiran yang segar, pengucapan mantap, penghayatan teks serta disiplin tinggi sepanjang pertandingan,” menurut kenyataan itu di laman Facebook JAIS malam tadi.

MIISMAM merupakan acara tahunan anjuran bersama Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia dan pelbagai agensi berkaitan yang menghimpunkan sekolah menengah agama seluruh negara bagi mencungkil bakat dan potensi pelajar dalam pelbagai bidang.

Artikel Berkaitan:

“Kejuaraan Selangor ini membuktikan kekuatan negeri dalam membentuk modal insan yang unggul, berteraskan ilmu, akhlak serta pembangunan holistik,” kata JAIS.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh wakil rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia bersama-sama wakil agensi agama negeri dan Persekutuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!