Campur tangan AS, bakal undang ketegangan global

KONFLIK antara Iran-Israel dilihat semakin memuncak. Baru-baru ini Amerika Syarikat (AS) dilaporkan melancarkan serangan udara ke atas tiga tapak nuklear Iran termasuk Fordo, Natanz dan Esfahan.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Presiden, Donald Trump sendiri melalui dalam satu catatan di Truth Social pada Sabtu.
Seorang pegawai kanan Iran mengesahkan bahawa sebahagian daripada kemudahan nuklear Fordow telah mengalami kerosakan akibat serangan udara yang disifatkan sebagai “serangan musuh”, di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap Agensi Tenaga Atom Iran, Behrouz Kamalvandi, dipetik oleh agensi berita ISNA sebagai berkata bahawa “kerosakan terhad” berlaku di beberapa bahagian tapak pengayaan uranium Fordow, namun menegaskan bahawa tiada kebocoran bahan radioaktif atau ancaman terhadap keselamatan awam.
Serangan berkenaan dilihat sebagai satu signal menyatakan bahawa AS telah memilih pihak dalam konflik berkenaan.
Tindakan itu juga menunjukkan bahawa AS bersedia menggunakan kekuatan ketenteraan bagi melindungi kepentingannya di Asia Barat serta menyokong sekutu rapatnya, Israel.
Ia juga memberi isyarat kepada negara lain seperti Rusia dan China bahawa AS masih mengekalkan keupayaannya sebagai kuasa global yang sanggup bertindak secara langsung terhadap ancaman yang dirasakan mencabar kestabilan serantau.
Jurucakap politik Houthi, Mohammed al-Bukhaiti, dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh saluran TV Al-Masirah, berkata, serangan AS itu adalah pengisytiharan perang terhadap seluruh paksi penentangan.
Beliau menambah bahawa Houthi dan sekutunya “tidak akan berdiam diri” dan akan bertindak balas terhadap sebarang ancaman terhadap Iran, yang dianggap sebagai sekutu strategik dalam perjuangan menentang “hegemoni Zionis-Amerika”.
Ada pelbagai ruang kemungkinan boleh berlaku dalam situasi konflik yang semakin kritikal ini. Salah satunya, konflik ini berpotensi merebak ke negara jiran seperti Syria, Lubnan, dan Iraq, yang mempunyai militan pro-Iran.
Selain itu, serangan AS itu juga berkemungkinan bakal menamatkan sebarang harapan untuk menghidupkan semula rundingan nuklear Iran (JCPOA), yang sebelum ini menjadi kerangka utama bagi menyekat keupayaan nuklear Iran secara damai.
Sekutu Eropah juga mungkin melihat tindakan unilateral ini sebagai terlalu agresif dan boleh mengeruhkan lagi ketegangan global, khususnya dengan Rusia dan China yang menyokong Iran secara tidak langsung.
Apa yang pasti, ketegangan konflik ini mungkin hanya boleh diredakan dengan peranan gerakan keamanan global menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan ASEAN.
PBB perlu segera memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan untuk meredakan ketegangan konflik tersebut.
Kesatuan Eropah boleh memainkan peranan sebagai orang tengah untuk menghidupkan semula perbincangan diplomatik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

