Raja Nurfatimah Mawar mengadu keletihan kepada sahabat baik

Raja Nurfatimah Mawar meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, Kajang petang Ahad.
Raja Nurfatimah Mawar meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, Kajang petang Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH), Raja Nurfatimah Mawar Mohamed yang meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, Kajang petang tadi ada mengadu keletihan kepada sahabat baiknya yang juga Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) Tengku Datuk Khalidah Tengku Bidin.

Tengku Khalidah berkata, Raja Nurfatimah Mawar, 49, yang juga Bendahari WHAM memaklumkan perkara itu ketika mereka berbual menerusi telefon semalam.

Beliau berkata, rata-rata penggiat industri seni dan selebriti tanah air terkejut dengan berita berkenaan kerana Allahyarham tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kurang sihat sebelum ini.

"Kami mendapat berita pemergian sahabat baik saya itu kira-kira jam 3 petang tadi. Difahamkan Allahyarham mengadu sakit badan dan sukar bernafas kepada pembantu rumahnya hari ini.

"Kebetulan, bersamanya hari ini ialah pembantu rumah yang datang setiap hari untuk membersihkan rumah. Sepanjang pengetahuan saya, Raja Nurfatimah memang sihat sebelum ini,” katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kali terakhir bertemu dengan Allahyarham ialah dua hari lepas ketika menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Majlis Tertinggi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Wangsa Maju, di sini.

Berkongsi mengenai keperibadian Allahyarham, Tengku Khalidah berkata, Raja Nurfatimah Mawar merupakan seorang sahabat yang ceria, berperwatakan baik dan disenangi ramai.

"Dia bukan sahaja disenangi dalam kalangan wartawan, malah selebriti juga amat menyayanginya. Walaupun memegang jawatan Penolong Pengarang Berita Hiburan BH, Allahyarham masih kerap turun padang kerana hubungan baiknya bersama penggiat seni tanah air,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut terkilan kerana tidak sempat untuk menunaikan haji bersama-sama pada tahun depan seperti dirancang sebelum ini.

Allahyarham yang pernah menerima Anugerah Penulis Pojok Terbaik pada Anugerah Kecemerlangan Industri Filem Malaysia (AKIFMA) 2017, juga dikenali sebagai pencinta haiwan dan memelihara sebanyak 37 ekor kucing di kediamannya.

Raja Nurfatimah Mawar dilaporkan mengadu sakit dan sukar bernafas sebelum meninggal dunia kira-kira jam 2 petang tadi dan jenazahnya dijangka dibawa pulang serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Masjid Haji Kadir, Pasir Panjang, Kuala Terengganu awal pagi esok selepas proses bedah siasat di Hospital Kajang selesai. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!