AS serang fasiliti nuklear Iran: Apa yang anda perlu tahu?

Imej satelit menunjukkan kemudahan pengayaan uranium bawah tanah di Fordo pada 14 Jun lalu. FOTO/ AFP.
Imej satelit menunjukkan kemudahan pengayaan uranium bawah tanah di Fordo pada 14 Jun lalu. FOTO/ AFP.
A
A
A

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendedahkan bahawa pesawat pengebom B-2 melancarkan serangan ke atas tiga fasiliti nuklear Iran iaitu di Fordo, Natanz dan Esfahan.

Serangan dengan muatan penuh bom itu digugurkan termasuk kemudahan pengayaan uranium bawah tanah di Fordo yang menjadi tapak nuklear utama, terletak di kawasan berbukit di Selatan Tehran.

Pesawat B-2 Spirit. FOTO/ Reuters.
Pesawat B-2 Spirit. FOTO/ Reuters.

AS memberitahu, enam pesawat B-2 menjatuhkan bom seberat 13,000 kilogram (KG) dari langit dengan jarak sekitar 12 kilometer (KM) pada Ahad.

Menurut laporan media antarabangsa, ia berkemungkinan sejenis bom yang dinamakan GBU-57 Massive Ordnance Penetrator (MOP) dan mampu menembusi kira-kira 18 hingga 61 meter (M) dasar bumi sebelum meletus.

Trump menerusi platform Truth Social menyifatkan serangan terhadap Fordo dan dua lagi tapak nuklear milik Iran sebagai 'amat berjaya'.

Sementara itu, jurucakap politik Houthi, Mohammed al-Bukhaiti dalam satu kenyataan yang disiarkan saluran TV Al-Masirah berkata, serangan udara AS ke atas tiga tapak nuklear Iran menandakan bahawa 'bermulanya perang besar-besaran' di Asia Barat.

Artikel Berkaitan:

Serangan terbabit katanya bukan sekadar provokasi, tetapi juga pengisytiharan perang terhadap seluruh paksi penentangan.

Beliau menambah, Houthi dan sekutunya tidak akan berdiam diri serta bakal bertindak balas dengan sebarang ancaman terhadap Iran dalam perjuangan menentang 'hegemoni Zionis-Amerika'.

Tangkap layar hantaran Trump yang dimuat naik di platform Truth Social.
Tangkap layar hantaran Trump yang dimuat naik di platform Truth Social.

Kenyataan terbabit turut menggesa negara-negara Arab dan Islam untuk menyatakan pendirian tegas terhadap tindakan AS, selain memberi amaran bahawa serangan lanjut berpotensi mencetuskan 'rantaian tindak balas yang tidak dapat dikawal'.

Setakat ini, tiada pengesahan rasmi dari Iran mengenai tahap kerosakan di tapak-tapak nuklear tersebut.

Bagaimanapun, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memaklumkan, hanya terdapat kebocoran radiologi kecil di salah satu lokasi tanpa ancaman segera kepada orang awam.

Pengarah Urusan IAEA, Rafael M Grossi mengumumkan satu mesyuarat tergempar Lembaga Gabenor organisasi akan diadakan pada Isnin, namun butiran agenda tidak diketahui.

*Sumber: Al Jazeera, BBC dan The New York Times.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!