Lelaki sesat ketika daki Bukit Larut ditemukan selamat

IPOH - Seorang lelaki yang dilaporkan tersesat ketika menjalankan aktiviti riadah bersama rakan-rakan di kawasan Pusat Peranginan Bukit Larut, Taiping, ditemukan selamat pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa berusia 30 tahun itu kira-kira jam 2.28 petang Ahad.
"Kehilangan mangsa disedari oleh isterinya kerana sebelum kejadian itu, mangsa mengatakan ingin buang air kecil dan bergerak secara berseorangan sebelum didapati tidak muncul semula sejak jam 10 pagi tadi.
"Pihak bomba melakukan pencarian di sekitar lokasi mangsa dimaklumkan hilang sehingga mangsa ditemukan selamat di Pondok 3, iaitu sejauh empat kilometer (km) dari kaki Bukit Larut," katanya.
Sabarodzi berkata, mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
