Wanita sakit tekak maut akibat alahan ubat

BEIJING - Seorang wanita berusia 23 tahun maut selepas dipercayai mengalami alahan terhadap ubat yang diberikan ketika menerima rawatan sakit tekak di sebuah klinik di Wilayah Jiangsu, China.
Menurut laporan media tempatan CTWant, mangsa telah pergi ke klinik berkenaan pada malam 25 April lalu kerana berasa tidak selesa di bahagian tekak dan diberikan rawatan menerusi kaedah drip oleh doktor yang bertugas.
Bagaimanapun, mangsa dilaporkan mula mengalami sesak dada dan muntah sebelum tidak sedarkan diri hanya dua minit selepas rawatan bermula.
Pasukan paramedik yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan wanita itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kejutan anafilaksis yang berpunca daripada alahan terhadap ubat jenis lincomycin.
Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Kunshan turut mengesahkan bahawa mangsa mempunyai alahan terhadap bahan tersebut, namun ujian pengesanan alahan tidak diwajibkan sebelum ubat itu diberikan.
Keluarga mangsa kini berharap agar siasatan menyeluruh dapat dijalankan dan garis panduan rawatan diperketatkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!