Pembantu makanan warga asing ditemui maut disyaki dibunuh

GOMBAK - Seorang pembantu makanan warga asing maut disyaki akibat dipukul serta ditekap sebelum mayatnya ditemui di sebuah rumah kedai di Bandar Tasik Puteri, Rawang di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat berkaitan kejadian pada jam 12.34 tengah hari melibatkan mayat mangsa yang merupakan wanita berumur 37 tahun ditemui di dalam rumah kedai berkenaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil dalam salah sebuah bilik.
"Pemeriksaan pada badan mayat mendapati tiada unsur-unsur jenayah dan tiada kesan cedera.
"Siasatan mendapati mangsa tinggal beberapa bulan di rumah tersebut dan bekerja sebagai pembantu kedai makan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
"Hasil bedah siasat dijalankan oleh pakar forensik Hospital Sungai Buloh mendapati mangsa mengalami kecederaan retak di kepala disyaki dipukul objek tumpul dan lemas disyaki akibat ditekap.
"Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Puteri Noor Asiah Mohd Sharif, di talian 012-6718024 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

