Tegur main motosikal, warga emas maut dipukul remaja guna besi

Mayat mangsa yang terbaring di atas jalan. Gambar kecil: Shamsuddin
Mayat mangsa yang terbaring di atas jalan. Gambar kecil: Shamsuddin
A
A
A

TANAH MERAH – Seorang warga emas maut dipercayai selepas dipukul dengan sebatang besi di Kampung Buluh, Gual Ipoh di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Shamsuddin Mohamad, 60, mengalami kecederaan parah di muka dan disahkan meninggal dunia di lokasi selepas rebah dipukul, dipercayai oleh seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.

Difahamkan, suspek dipercayai berdendam kerana mangsa pernah beberapa kali menegurnya kerana menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan kampung.

Adik tiri mangsa, Hasnah Ghazali, 40, berkata, sebelum kejadian, abangnya sedang berbual dengan seorang rakan di bangsal berhadapan sebuah kedai runcit sebelum didatangi suspek.

“Remaja itu mengajak abang ke bahagian belakang kedai sebelum memukulnya dengan sebatang besi.

“Abang kemudian rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Penduduk yang mengerumi lokasi kejadian.
Penduduk yang mengerumi lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Menurut Hasnah, kejadian disedari oleh seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan tersebut, dan beliau yang dimaklumkan tentang kejadian itu sekitar jam 5.45 petang terus bergegas ke lokasi.

“Saya sampai tu, nampak dia sudah berlumuran darah,” katanya.

Mayat dibawa polis ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.

Hasnah memberitahu, kali terakhir mereka berhubung dengan abangnya itu adalah pada Rabu lalu ketika berjumpa di rumah ibu mereka.

“Ada dengar-dengar orang kata, dia marah sebab abang pernah tegur berkaitan tunggang motosikal,” katanya.

Jenazah selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kelupang, Gual Ipoh selepas solat Asar pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!