Kebakaran kilang di Puchong, api cepat marak akibat barang mudah terbakar

PUCHONG - Bahan mudah terbakar dikenal pasti sebagai punca api marak dan merebak dengan cepat dalam kejadian kebakaran sebuah kilang kertas di Jalan Lembah Kinrara, Kampung Lembah Kinrara, di sini pada Sabtu.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I), Haswan Mohd Wasir berkata, barang-barang seperti tisu, plastik dan pinggan mangkuk menyebabkan api merebak dengan cepat.
Menurutnya, terdapat enam buah stor simpanan barangan di dalam kilang atau gudang jualan berkenaan.

“Api juga mudah marak dan cepat merebak kerana premis itu diperbuat daripada bahan kayu.
“Sehingga jam 3 petang, operasi memadam kebakaran masih belum selesai sepenuhnya dan masih terdapat api pada sebahagian longgokan barang plastik,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kira-kira 80 peratus daripada kilang seluas 30.48 x 36.57 meter persegi itu telah musnah terbakar.
Bagaimanapun, katanya, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Menurut beliau, JBPM menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 12.14 tengah hari.
"Sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong, Subang Jaya, Seri Kembangan dan Jalan Penchala telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Jentera pertama tiba di lokasi yang terletak kira-kira 6.7 kilometer dari balai pada jam 12.22 tengah hari, iaitu kira-kira lapan minit selepas panggilan diterima,” jelasnya.
Beliau menambah, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
