Israel dakwa komander Iran terbunuh dalam serangan udara

Situasi di Ramat Gan pada 19 Jun 2025, selepas Iran melancarkan serangan subuh yang menggegarkan kawasan bandar berhampiran Tel Aviv. Foto Agensi
Situasi di Ramat Gan pada 19 Jun 2025, selepas Iran melancarkan serangan subuh yang menggegarkan kawasan bandar berhampiran Tel Aviv. Foto Agensi
A
A
A

AHVAZ – Tentera Israel mengesahkan bahawa mereka telah membunuh Aminpour Joudaki, seorang komander kanan dalam Pasukan Udara Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), dalam satu serangan udara yang menyasarkan kemudahan ketenteraan di barat daya Iran, menjadikannya serangan kedua terhadap pimpinan perang dron Iran dalam tempoh kurang dua minggu.

Menurut Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Joudaki merupakan ketua Briged UAV (kenderaan udara tanpa pemandu) kedua IRGC dan bertanggungjawab ke atas ratusan serangan dron terhadap Israel dari pangkalannya di Ahvaz, wilayah Khuzestan.

IDF memaklumkan bahawa serangan udara itu dilancarkan oleh jet pejuang sebagai sebahagian daripada kempen berskala besar yang bertujuan melumpuhkan infrastruktur dan keupayaan perang dron Iran.

Aminpour Joudaki dilaporkan menggantikan Taher Pour, ketua ibu pejabat UAV IRGC terdahulu, yang terbunuh dalam serangan udara Israel pada 13 Jun lalu.

Serangan berturut-turut ini dilihat sebagai usaha Israel untuk melemahkan struktur komando operasi dron Iran di tengah-tengah ketegangan serantau yang semakin memuncak.

Setakat ini, IRGC belum mengeluarkan pengesahan rasmi mengenai kematian Joudaki, namun beberapa agensi media Iran mengakui berlaku peningkatan ketara dalam aktiviti udara Israel di sekitar Ahvaz sejak minggu lalu.

Serangan terkini ini berlaku ketika konflik antara Iran dan Israel terus meruncing, khususnya selepas Iran melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron ke atas beberapa bandar utama Israel awal tahun ini.

Perkembangan ini turut memperlihatkan intensiti “perang bayangan” antara kedua-dua negara, dengan medan perang dron kini menjadi tumpuan utama dalam konfrontasi berterusan yang berasaskan teknologi pertahanan dan serangan udara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!