HRD Corp perkasa komuniti B40 dengan ilmu kompos hijau

Pegawai dan wakil penganjur serta penduduk bergambar bersama selepas menghasilkan baja daripada sisa makanan.
Pegawai dan wakil penganjur serta penduduk bergambar bersama selepas menghasilkan baja daripada sisa makanan.
A
A
A

PETALING JAYA – Komuniti Flat Sri Cempaka, Bandar Sri Damansara mendapat suntikan semangat baharu apabila Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menerusi Wilayah Tengah – Sektor Baharu, dengan kerjasama Trustwired Malaysia dan pakar latihan hijau EcoGarage, menganjurkan bengkel inovatif bertemakan "Grow Together: From Waste to Wonder".

Program separuh hari ini bukan sekadar mengajar teknik pengkomposan, malah membuka lembaran baharu buat penduduk B40 untuk mendalami kemahiran hijau yang bukan hanya bermanfaat untuk alam sekitar, tetapi juga berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan dan mencetus daya berdikari.

Seramai 100 peserta daripada golongan berpendapatan rendah menyertai bengkel ini yang menyentuh aspek penting seperti pengurusan sisa makanan domestik, teknik kompos, dan amalan kelestarian sebagai sebahagian daripada agenda latihan semula dan peningkatan kemahiran yang inklusif oleh HRD Corp.

Program ini turut memperkukuh integrasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan gaya hidup lestari, sekali gus menyokong aspirasi negara menuju ekonomi hijau.

Antara pengisian bengkel termasuk ucapan aluan, sesi perkongsian oleh pakar kelestarian, dan ucaptama oleh Penyelaras TVET Damansara, Dr. Azizul Amar Rahmat. Aktiviti praktikal pengkomposan yang dikendalikan secara interaktif telah berjaya mencetus keterujaan dalam kalangan peserta dan diakhiri dengan sesi bergambar yang menyemarakkan semangat komuniti.

Program separuh hari ini bukan sekadar mengajar teknik pengkomposan, malah membuka lembaran baharu buat penduduk B40 mendalami kemahiran hijau.
Program separuh hari ini bukan sekadar mengajar teknik pengkomposan, malah membuka lembaran baharu buat penduduk B40 mendalami kemahiran hijau.

Antara tetamu yang hadir termasuk Ketua Wilayah Tengah – Sektor Baharu HRD Corp, Geetha Ganesan; Ketua Komunikasi Korporat dan Perhubungan Perniagaan Trustwired Malaysia, Nasrullah Ghazaly dan Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Sri Cempaka, Fadzli Din, bersama ahli komuniti, pakar latihan hijau daripada EcoGarage serta para pegawai Wilayah Tengah Sektor Baharu HRD Corp.

Artikel Berkaitan:

Menurut Fadzli yang telah menetap di kawasan itu selama 12 tahun bersama lebih 3,000 penduduk lain, program seperti ini amat dinanti-nantikan.

“Inisiatif seperti ini sangat membuka mata. Penduduk bukan sahaja belajar cara urus sisa makanan dengan betul tetapi juga rasa dihargai apabila agensi besar seperti HRD Corp turun padang bersama kami,” ujarnya.

Beberapa penduduk lain turut menyuarakan rasa syukur dan bangga dengan penyertaan mereka.

“Saya memang minat berkebun. Sekarang saya tahu macam mana nak hasilkan baja sendiri dari sisa dapur. Sangat berguna dan boleh jimat duit,” kata Mariam Isa, 46, salah seorang peserta.

HRD Corp dalam kenyataan menegaskan komitmen untuk mentakrif semula latihan semula bukan hanya tertumpu pada profesional industri, tetapi juga merangkumi akar umbi masyarakat, bagi membina ketahanan dan memperkaya kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Ketika Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 terus berlangsung di seluruh negara, bengkel ini menjadi bukti bahawa latihan yang bermakna dan transformatif boleh disemai dari peringkat komuniti, satu timbunan kompos pada satu masa, menuju masa depan yang lebih hijau dan lestari.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini, sila layari www.nationaltrainingweek.gov.my atau www.hrdcorp.gov.my.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!