Bekas tonggak England, Liverpool tinggalkan Bordeaux demi keluarga

BEKAS penyerang England dan Liverpool, Andy Carroll, meninggalkan FC Girondins de Bordeaux selepas hanya satu musim beraksi bersama kelab Divisyen Empat Perancis berkenaan.
Bordeaux menyatakan bahawa Carroll mengambil keputusan untuk berundur dari kelab Championnat National 2 tersebut bagi meluangkan lebih masa bersama keluarganya.
Pemain berusia 36 tahun itu menyertai Bordeaux dari kelab Ligue 2, Amiens, pada September lalu dan berjaya menjaringkan 11 gol dalam 21 penampilan liga untuk pasukan tersebut.
"Selain daripada statistik, Andy membawa pengalaman, impak fizikal dan profesionalismenya setiap hari, di bilik persalinan serta dalam perlawanan penting.
"Di luar padang, beliau adalah personaliti yang luar biasa dan pemurah, yang disukai oleh peminat dan kakitangan kelab," kata kelab tersebut.
Bordeaux, juara Ligue 1 sebanyak enam kali, kehilangan status profesional selepas disingkirkan dari Ligue 2 ke Championnat National 2 akibat kebankrapan pada tahun lalu.
Carroll telah menjaringkan 54 gol dalam 248 penampilan Liga Perdana Inggeris sepanjang tempohnya bersama Newcastle United, Liverpool dan West Ham United.
Beliau kemudiannya beraksi untuk Reading dan West Bromwich Albion sebelum berpindah ke Perancis bersama kelab divisyen kedua, Amiens, pada tahun 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!