Pesara rugi lebih setengah juta terpedaya untung berganda

Seorang pesara swasta tidak lena tidur apabila wang pelaburannya berjumlah RM535,766 lesap selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud.
Seorang pesara swasta tidak lena tidur apabila wang pelaburannya berjumlah RM535,766 lesap selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang pesara swasta tidak lena tidur apabila wang pelaburannya berjumlah RM535,766 lesap selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa yang berusia 57 tahun itu terpedaya dengan iklan pelaburan saham di laman Facebook yang menawarkan keuntungan berganda dalam tempoh singkat.

“Hasil siasatan mendapati kejadian bermula pada 13 Mac lalu apabila mangsa tertarik dengan pelaburan berkenaan setelah menekan pautan iklan tersebut.

“Mangsa kemudiannya membuat 26 transaksi ke lima akaun bank berbeza dari 13 Mac hingga 5 Jun.

“Mangsa juga diminta membuat bayaran tambahan yang kononnya diperlukan untuk mengeluarkan hasil pelaburan. Namun, selepas gagal mengakses sebarang pulangan, barulah mangsa menyedari dirinya telah ditipu,” katanya dalam kenyataan, Sabtu.

Tambah beliau, siasatan lanjut menggunakan platform Semak Mule mendapati kesemua lima akaun bank yang terlibat mempunyai sebanyak 22 rekod laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Polis turut menyiasat penglibatan pemilik akaun sebagai ‘keldai akaun’ yang berkemungkinan terlibat secara langsung atau menjadi perantara kepada sindiket.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, dan sentiasa membuat semakan latar belakang pelaburan serta syarikat terlibat.

“Semakan boleh dilakukan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dan platform Semak Mule bagi mengesan akaun mencurigakan,” ujarnya.

Polis turut menyeru orang awam agar tidak berkongsi maklumat perbankan dengan individu tidak dikenali serta sentiasa mengikuti laman media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai modus operandi penipuan.

Sebarang maklumat berkaitan atau sekiranya menjadi mangsa, orang ramai boleh menghubungi talian 997 (Pusat Respons Scam Kebangsaan) dengan segera.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!