Saya dan syarikat, dua entiti berbeza – Fazura

A
A
A

[DIKEMAS KINI] SELEPAS sekian lama mendiamkan diri mengenai isu saman membabitkan syarikat miliknya, Pink Fate Sdn Bhd, pelakon dan usahawan terkenal, Fazura akhirnya tampil memberi penjelasan ringkas namun tegas.

Menurut Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, beliau tidak dapat mengulas lanjut berkenaan isu tersebut kerana ia merupakan urusan perniagaan yang bersifat sulit dan kini berada dalam perhatian pihak peguam.

"Spekulasi… ya, tentang kerjasama dan sebagainya. Sebenarnya, banyak pihak di luar sana membuat spekulasi dan mungkin juga ada yang menabur fitnah di merata tempat.

"Sejujurnya, tiada apa yang saya boleh jelaskan secara terperinci sebab kita kena faham, ini melibatkan dua entiti yang berbeza — Fazura dan juga syarikat.

"Jadi, mengenai syarikat itu, saya tidak boleh komen lebih-lebih sebab itu adalah urusan syarikat. Fazura pula adalah individu yang berbeza. Saya sendiri.

"Jadi, memang saya tak boleh nak komen banyak tentang syarikat dan juga apa sahaja yang berlaku dalam syarikat tersebut," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video lagunya, Luar Biasa, di Aurum TRX, Kuala Lumpur pada malam Jumaat.

Fazura berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi dan dakwaan yang timbul sebelum ini, termasuk laporan bahawa syarikatnya berdepan tindakan undang-undang melibatkan saman bernilai RM4.65 juta oleh sebuah pembekal tudung.

Tambah Fazura apa yang diharapkan orang luar dapat memahami bahawa dirinya dan syarikat adalah dua perkara berbeza dan masalah yang dihadapi adalah cabaran biasa yang dilalui seorang usahawan.

Artikel Berkaitan:

"Saya tahu, perniagaan saya bukannya kecil. Saya percaya semua usahawan di luar sana, sama ada lelaki mahupun wanita, faham tentang cabaran-cabaran yang dihadapi apabila kita menjalankan perniagaan.

"Memang akan ada cabaran dan halangan tetapi berkenaan dengan apa yang sedang dihadapi oleh syarikat sekarang, saya tidak boleh nak ulas.

"Sama ada melibatkan hutang atau apa pun, saya tidak boleh kongsikan sebab perkara itu bersifat sulit dan telah pun diserahkan kepada pihak peguam untuk tindakan selanjutnya," pinta Fazura.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan syarikat milik Fazura, Pink Fate Sdn Bhd, didakwa berhutang sebanyak RM4.65 juta kepada syarikat pengilang tudung, Obor Holding Sdn Bhd (Obor Holding), yang juga pemilik kilang Feline Malaysia.

Obor Holding mendakwa syarikat tersebut hanya membayar RM2.68 juta daripada keseluruhan nilai tudung sebanyak RM7.3 juta yang dibekalkan sejak Jun 2022.

Susulan kegagalan mendapatkan bayaran penuh, Obor Holding dilaporkan telah memfailkan tuntutan mengikut proses undang-undang selepas mendakwa syarikat Pink Fate enggan memberikan kerjasama.

Sementara itu, Fazura tampil dengan single terbaharunya berjudul Luar Biasa, sebuah karya yang menyuntik semangat dan harapan, dengan membawa mesej kekuatan serta kebangkitan diri, hasil kerjasama Fazura Studios dan Universal Music Malaysia.

Dicipta sepenuhnya oleh penyanyi dan komposer Indonesia, Ade Govinda, kolaborasi ini tercetus selepas sesi perbincangan ringkas secara dalam talian yang membuka ruang kepada proses kreatif dalam tempoh kurang seminggu.

“Kami berhubung melalui sesi Zoom, saya terus jelaskan konsep lagu yang saya inginkan. Saya nak lagu yang boleh beri semangat, bukan tentang putus cinta. Sesuatu yang sesuai didengar waktu pagi ketika memandu dan boleh memberi inspirasi.

"Saya sangat tersentuh dengan lirik ‘Jatuh itu biasa, bangun itu luar biasa’. Ia benar-benar menggambarkan hakikat hidup kita semua ada perjuangan sendiri.

“Apa yang penting adalah semangat untuk bangkit demi diri sendiri dan orang tersayang. Dengan niat yang baik dan keyakinan kepada Allah, kita mampu menghadapi dengan tenang,” ujar Fazura.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!