Tun Mahathir pantau kerajaan Muhyiddin

Wawancara eksklusif Dr Mahahir bersama Sinar Harian di Putrajaya kelmarin. - Foto Asril Aswandi
Wawancara eksklusif Dr Mahahir bersama Sinar Harian di Putrajaya kelmarin. - Foto Asril Aswandi
A
A
A

PUTRAJAYA - Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan, beliau akan memantau pergerakan kerajaan baharu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, beliau mahu melihat sama ada orang yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional terus dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara jika didapati bersalah.

“Saya hendak tengok kerajaan Perikatan Nasional (PN). Baru-baru ini, dia buat satu Kabinet yang tiada Timbalan Perdana Menteri dan tiada orang yang dihadapkan di mahkamah.

“Saya hendak kata apa-apa pun tidak boleh sehingga saya lihat apa sebenarnya yang akan berlaku,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Putrajaya kelmarin.

Tambah Dr Mahathir, setakat ini beliau masih belum bersedia untuk memberi sokongan kepada Muhyiddin walaupun tiada pemimpin UMNO yang kini berdepan perbicaraan di mahkamah dilantik dalam Kabinet baharu itu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib

“Waktu ini belum boleh bolehlah (beri sokongan). Ini kerana Muhyiddin berkawan dengan orang tidak senonoh, pencuri, penyangak, kleptokrat.

“Saya tidak boleh. Tetapi waktu ini orang-orang itu sangat kuat.

Artikel Berkaitan:

“Dia mempunyai kuasa menumbangkan kerajaan kerana UMNO ada lebih 50 ahli Parlimen sedangkan bersatu kalau campur-campur cuma ada 30 ahli Parlimen,” katanya yang mengakui sekiranya UMNO menarik diri tumbanglah kerajaan Perikatan Nasional.

Ditanya mengenai orang Melayu sudah berpecah kepada banyak parti, Dr Mahathir berkata perkara itu akan difikirkan kemudian.

“Waktu ini saya masih lagi berpendapat bahawa pengaruh kleptokrasi masih kuat,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir turut menyifatkan pemilihan yang sedang berlangsung dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekarang sebagai medan terbaik kepada ahlinya untuk memilih beliau atau Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr Mahathir mengakui, Bersatu sekarang sudah berpecah kepada dua kumpulan, namun menegaskan perkara itu berlaku dalam semua parti.

“Tidak lama lagi ada pemilihan Bersatu, mungkin dia akan bertanding dan saya juga akan tanding. Kita tengoklah siapa menang tetapi kerajaan tidak akan jatuh.

“Orang yang menyebelahi dia pegang jawatan. Kerajaan tidak jatuh. Tinggal lagi dia mungkin tidak lagi jadi pemimpin Bersatu,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di sini kelmarin.

Beliau berkata, akibat daripada perpecahan Melayu, maka orang bukan Melayu lagi kingmaker politik.

“Sekarang kalau hendak menang, mesti dapat sokongan orang bukan Melayu. Jadi mereka menjadi kingmaker kerana kita berpecah,” katanya.