Suruhanjaya Tenaga perkenal Insentif Cekap Tenaga

ST akan memperkenalkan Insentif Cekap Tenaga sebagai galakan kepada 23.6 juta pengguna domestik yang mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah, bermula 1 Julai ini. Foto hiasan 123RF
ST akan memperkenalkan Insentif Cekap Tenaga sebagai galakan kepada 23.6 juta pengguna domestik yang mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah, bermula 1 Julai ini. Foto hiasan 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Tenaga (ST) akan memperkenalkan Insentif Cekap Tenaga sebagai galakan kepada 23.6 juta pengguna domestik yang mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah, bermula 1 Julai ini.

Menurut kenyataan ST pada Jumaat, melalui insentif itu, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik sebanyak 1,000 kWj dan ke bawah dijangka tidak terkesan dengan pelaksanaan jadual tarif baharu.

“Selain itu, pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200 kWj dan ke bawah turut akan mendapat manfaat daripada insentif ini.

“Skim Masa Penggunaan atau Time of Use (TOU) turut diselaras dan diperluas kepada tempoh luar puncak yang lebih panjang iaitu keseluruhan hari Sabtu, Ahad serta dari jam 10 malam hingga 2 petang pada hari Isnin hingga Jumaat,” katanya.

Tambahnya, langkah itu bertujuan menggalakkan pengurusan penggunaan tenaga yang lebih cekap mengikut waktu permintaan, sejajar dengan usaha ke arah sistem tenaga yang lebih lestari.

“Sekiranya pengguna memanfaatkan waktu di luar puncak, mereka dapat menjimatkan bil elektrik berbanding penggunaan semasa waktu puncak,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, demi menjaga aspek sosial dan kebajikan, kerajaan bersetuju agar tarif spesifik dikekalkan untuk kategori pertanian, perkhidmatan air dan pembetungan serta operator rel (traction).

“Selain itu, pemberian rebat sebanyak 10 peratus akan terus dinikmati oleh institusi pengajian tinggi berdaftar, sekolah, rumah kebajikan dan rumah ibadat.

Artikel Berkaitan:

“Program Rebat Bil Elektrik RM40 juga diteruskan, iaitu bantuan bulanan maksimum RM40 yang diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM),” jelasnya.

Pengguna yang layak boleh menyemak status kelayakan masing-masing di laman sesawang rasmi https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti elektrik berhampiran.

Ujarnya, secara keseluruhan, pendekatan tersebut bertujuan menggalakkan kecekapan penggunaan tenaga dan peralihan kepada tenaga boleh baharu, sejajar dengan matlamat membina sistem tenaga yang lebih efisien dan mampan.

“Bagi tujuan ini, semua pengguna akan menerima bil elektrik dalam format baharu yang lebih terperinci (itemised billing).

“Susulan pelaksanaan jadual tarif baharu, majoriti pengguna dijangka tidak terkesan, malah pengguna yang mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap akan menikmati penjimatan yang lebih tinggi menerusi Insentif Cekap Tenaga,” katanya.

Sementara itu, bagi komponen caj tenaga, ST turut memperkenalkan mekanisme pelarasan kos bahan api yang lebih dinamik iaitu Automatic Fuel Adjustment (AFA), yang akan menggantikan mekanisme sedia ada Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).

Jelasnya, mekanisme tersebut membolehkan pelarasan kos penjanaan dilakukan secara automatik berdasarkan harga semasa bahan api dan kadar tukaran mata wang asing. Maklumat pelarasan tersebut akan dilaporkan setiap bulan di laman sesawang ST.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!