AKPS mantapkan kepakaran rentas sempadan bersama pakar antarabangsa

SEPANG – Barisan kepimpinan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memperoleh pendedahan serta latihan kepakaran daripada pihak kedutaan asing dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan.
Agensi penguat kuasa itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa AKPS Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah menganjurkan Sesi Latihan Penilaian Dokumen dan Penumpang – Siri 1/2025 yang dikendalikan dengan kerjasama beberapa kedutaan luar negara.
Katanya, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan AKPS dalam memperkukuh profesionalisme dan keupayaan operasi barisan hadapan melalui perkongsian kepakaran antarabangsa serta kerjasama global strategik.
“Melalui latihan Siri 1/2025 ini, seramai 20 pegawai AKPS KLIA yang terdiri daripada ketua-ketua pasukan dan anggota pasukan pemantau didedahkan kepada kaedah terkini.
“Ia termasuk mengenal pasti dokumen palsu, corak perjalanan berisiko serta penilaian kelayakan penumpang dengan lebih efektif,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Program berkenaan turut membuka ruang kepada kerjasama rentas negara dalam usaha membanteras aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan dan penyalahgunaan dokumen perjalanan.
“Latihan ini membabitkan pakar-pakar terdiri daripada Airport Liaison Officers (ALO) dari Kanada, United Kingdom, Australia dan New Zealand,” katanya.
Selain itu, menurut kenyataan tersebut, latihan berkenaan menyasarkan penyertaan pegawai AKPS pelbagai peringkat di KLIA 1 dan KLIA 2, termasuk pegawai di kaunter pemeriksaan imigresen dan akan diteruskan secara berkala.
“AKPS KLIA akan terus mempergiat jalinan kerjasama antarabangsa bagi memastikan kawalan sempadan Malaysia berada pada tahap tertinggi dan selari dengan amalan terbaik antarabangsa,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
