Dana RM40,000 berjaya dikumpul, Yusuf Rizqi jalani pembedahan Oktober ini

Nur Shahira (kiri) bersama suami, Mohd Kharil Izuan dan bayi mereka, Muhammad Yusuf Rizqi yang akan menjalani pembedahan pada Oktober depan.
Nur Shahira (kiri) bersama suami, Mohd Kharil Izuan dan bayi mereka, Muhammad Yusuf Rizqi yang akan menjalani pembedahan pada Oktober depan.
A
A
A

KEMAMAN – Harapan pasangan suami isteri untuk melihat bayi mereka menjalani pembedahan jantung dan paru-paru semakin cerah apabila dana berjumlah RM40,000 yang diperlukan telah berjaya dikumpul.

Nur Shahira Ashiqin Nasrudin, 31, meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang tampil menghulurkan sumbangan bagi membiayai pembedahan anaknya, Muhammad Yusuf Rizqi Mohd Kharil Izuan, yang berusia 14 bulan.

“Alhamdulillah, kos pembedahan anak kami kini mencukupi. Terima kasih kepada semua penyumbang yang sudi membantu. Hanya ALLAH mampu membalasnya,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Anak bongsu daripada enam beradik itu dijadualkan menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 15 Oktober depan bagi membuka ikatan pada paru-paru dan menutup lubang pada jantungnya.

Menurut Nur Shahira, sejak dilahirkan, anaknya telah menjalani empat prosedur pembedahan termasuk pemasangan alatan bantuan jantung dan paru-paru.

Terdahulu, kisah keluarga ini tular selepas mereka tampil memohon bantuan orang ramai bagi menampung kos rawatan Yusuf Rizqi yang mencecah puluhan ribu ringgit.

Pasangan itu sebelum ini dilaporkan terpaksa menjual motosikal dan kereta serta kehabisan wang simpanan demi menanggung kos rawatan dan perbelanjaan ulang-alik ke Kuala Lumpur.

“Kami sangat berharap agar pembedahan nanti berjalan lancar dan Yusuf dapat membesar seperti kanak-kanak lain,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!