Pegawai Suhakam positif Covid-19

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengesahkan salah seorang pegawainya didapati positif koronavirus (Covid-19) setelah dimaklumkan pihak kesihatan kerajaan pada Rabu.

Dalam satu kenyataan, Suhakam bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada pesakit berkenaan telah dijangkiti pada awal bulan Mac 2020.

Sehubungan itu, Suhakam memaklumkan ibu pejabatnya di Menara TH Perdana, Kuala Lumpur ditutup pada 11 sehingga 13 Mac sebagai langkah mengawal mengawal penyebaran virus berkenaan terutamanya di kalangan pekerjanya.

"Suhakam bekerjasama rapat dengan pengurusan bangunan TH Perdana dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk proses disinfeksi premis.

"Pekerja Suhakam akan menjalankan tanggungjawab kerja dari rumah, dan semua aktiviti serta program akan ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak,"katanya.

Dalam masa sama Suhakam juga mengambil langkah untuk mengenalpasti individu-individu yang mempunyai kontak rapat dengan beliau dan mereka dikehendaki untuk mendapatkan ujian sewajarnya.

"Suruhanjaya menasihatkan agar orang ramai yang telah melawat atau berinteraksi dengan pegawai kami sejak 2 Mac (walaupun kemungkinan terdedah kepada virus ini adalah kecil) untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah dan menjalani pemeriksaan sekiranya anda mengalami simptom atau berasa kurang sihat.

"Segala kesulitan yang berlaku dalam menangani perkara ini amat dikesali dan Suhakamm akan memaklumkan perkembangan perkara ini dari semasa ke semasa melalui laman web dan media sosial kami," katanya.

Artikel Berkaitan: