Seludup ganja dari negara jiran, dicekup di KL

Antara ketulan mampat ganja yang dirampas JSJN susulan tangkapan dua lelaki di Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Antara ketulan mampat ganja yang dirampas JSJN susulan tangkapan dua lelaki di Kuala Lumpur, Selasa lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kegiatan menyeludup masuk dadah dari negara jiran melalui sempadan Perlis dibongkar selepas dua lelaki diberkas dengan rampasan 70 ketulan mampat ganja di Kepong, di sini, Selasa lalu.

Tangkapan dilakukan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Kontinjen Perlis kira-kira jam 1.25 pagi hasil maklumat dan risikan.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, dua lelaki tempatan berusia 33 dan 38 tahun ditahan ketika memandu sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz.

Menurutnya, pemeriksaan dalam kenderaan terbabit menemui 70 ketulan mampat dadah jenis ganja dengan anggaran berat 73.25 kilogram bernilai RM227,063.

“Siasatan lanjut mendapati dadah ini dibawa masuk dari negara jiran melalui sempadan Perlis untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

“Suspek yang berperanan sebagai ‘transporter’ dipercayai aktif dalam kegiatan terbabit sejak awal tahun ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, semakan mendapati seorang suspek memiliki 17 rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah, manakala seorang lagi mempunyai empat rekod lampau juga berkaitan jenayah serta dadah.

Tambahnya, polis turut menyita dua pasang subang emas yang dianggarkan bernilai RM1,950.

Jelasnya, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan ialah RM229,013.

Artikel Berkaitan:

“Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” ujarnya.

Tegas beliau, JSJN masih giat memburu saki-baki sindiket yang masih bebas dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan ini diminta menyalurkannya melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!