JDT siap gegar Asia

JDT dijangka tidak berdepan halangan besar untuk terus mendominasi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2025/26.
JDT dijangka tidak berdepan halangan besar untuk terus mendominasi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2025/26.
A
A
A

PASUKAN Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi membuktikan keseriusan mereka dalam mengejar kejayaan di peringkat tertinggi apabila merancang secara rapi menghadapi kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025/26.

Malah, Harimau Selatan itu juga dijangka tidak berdepan halangan besar untuk terus mendominasi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2025/26, sekali gus mengekalkan status sebagai kuasa besar bola sepak tanah air pada ketika jagoan selatan itu mengalih sepenuh tumpuan menjarah peta kelab Asia.

Langkah paling signifikan dalam fasa penstrukturan ini ialah pelantikan bekas pemain antarabangsa Sepanyol dan pemenang Liga Juara-Juara Eropah, Luis Garcia, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT bermula 1 April lalu.

Garcia, yang pernah beraksi bersama kelab ternama Liverpool, Barcelona dan Atletico Madrid, membawa bersamanya pengalaman luas dalam dunia bola sepak elit.

Beliau juga memiliki Lesen Pro Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan Sarjana Eksekutif UEFA untuk pemain antarabangsa, selain pernah bertindak sebagai duta untuk Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), UEFA dan LaLiga.

Pelantikan beliau jelas merupakan usaha JDT untuk memperkukuh aspek pengurusan kelab, seiring aspirasi untuk terus berdaya saing di pentas Asia.

Dalam aspek teknikal, JDT turut membuat perubahan besar dengan melantik jurulatih dari Sepanyol, Xisco Munoz, sebagai pengendali baharu.

Munoz, yang memiliki reputasi cemerlang dalam membimbing beberapa kelab Eropah, dijangka menyuntik elemen taktikal moden serta membawa pendekatan permainan yang lebih tersusun dan intensiti tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pelantikan ini dilihat sebagai kesinambungan strategi JDT yang sentiasa menuntut kecemerlangan dari setiap segi.

Kekalahan kepada Buriram United di suku akhir ACLE 2024/25 menjadi pencetus utama kepada penambahbaikan menyeluruh dalam skuad JDT.

Sebagai tindak balas, kelab tersebut kini sedang giat memperkemas skuad mereka dengan membawa masuk ramai pemain import baharu, termasuk merancang untuk melengkapkan kuota maksimum 15 pemain import.

Setakat ini, antara pemain yang telah menyertai pasukan termasuk pertahanan dari Sepanyol, Antonio Glauder, penyerang Brazil, Jairo Da Silva dan tengah tempatan, Ibrahim Manusi yang dibeli dari Sri Pahang FC.

Namun begitu, proses pembaharuan ini turut menyaksikan JDT melepaskan 11 tonggak utama termasuklah Safiq Rahim, Farizal Marlias dan Izham Tarmizi.

Langkah ini dilihat sebagai strategi untuk memperbaharui tenaga dalam skuad dan memberi ruang kepada kemasukan pemain-pemain yang lebih sesuai dengan pelan jangka panjang kelab.

Sebagai bukti kepada keberkesanan visi dan pelaksanaan strategik kelab, JDT kini berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik Asia.

Satu pengiktirafan yang bukan sahaja mengangkat nama kelab di peringkat benua, malah menjadi kebanggaan bola sepak Malaysia secara keseluruhan.

Walaupun JDT dilabel pasukan pilihan, beberapa pencabar seperti Selangor FC, Kuching City FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC) telah menunjukkan persiapan awal yang tidak kurang hebatnya.

Selangor FC di bawah kendalian jurulatih dari Jepun tampil dengan pengurusan teknikal yang semakin mantap, manakala Kuching City FC terus meningkatkan struktur taktikal mereka selain membawa masuk pemain berpengalaman.

Sementara itu, NSFC paling mencuri tumpuan dengan membawa pulang penyerang, Luqman Hakim Shamsudin, yang memiliki pengalaman lima tahun bersama kelab di Belgium, Iceland dan Jepun.

Secara keseluruhannya, usaha rapi dilakukan JDT mencerminkan aspirasi tinggi pemilik kelab, Tunku Mahkota Ismail untuk mempertahankan dominasi domestik, tetapi juga mencipta nama di peringkat benua.

Gabungan pelaburan bijak, penstrukturan pengurusan dan teknikal yang strategik serta pemilihan pemain yang teliti memberi isyarat jelas bahawa JDT bersedia untuk terus mengorak langkah ke peringkat yang lebih tinggi.

*Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah Sub Editor Sinar Harian

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!