Renjana nadi rindu Shiha buat arwah ayah

Shiha mengakui mengambil masa untuk menghasilkan Renjana.
Shiha mengakui mengambil masa untuk menghasilkan Renjana.
A
A
A

RENJANA bukan sekadar lagu. Ia adalah suara hati penyanyi Shiha Zikir, sebuah karya yang ditulis dan dinyanyikan sendiri sebagai penghargaan penuh kasih buat insan paling dirindui, arwah bapanya, Allahyarham Mohd Zikir Abdul Hamid.

Lagu tersebut terhasil daripada cebisan kenangan yang sangat peribadi dan penuh emosi, dilahirkan di bawah label Shiha Zikir Empire dan Sony Music Entertainment Malaysia dengan bantuan gubahan daripada sahabatnya, Zimi Sofazr.

“Setiap bait dalam Renjana datang terus daripada hati saya. Waktu rakaman, saya banyak menangis... rindu pada abah tidak pernah hilang sejak pemergiannya pada 2008,” luah Shiha, 38, yang mengakui ini merupakan karya paling mencabar emosinya.

Kenangan Shiha bersama arwah ayahnya.
Kenangan Shiha bersama arwah ayahnya.

Lebih menyentuh perasaan, video muzik Renjana bukan rekaan semata-mata, sebaliknya memaparkan babak-babak sebenar daripada hidupnya termasuk momen memancing bersama arwah dan detik istimewa ketika abahnya menghadiahkan sebuah pemain kaset mudah alih (walkman) sebelum dia bertolak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sesi uji bakat program realiti.

“Walkman itu dibeli hasil abah berhutang. Katanya, dia mahu saya lebih selesa berlatih menyanyi. Sayangnya, saya tidak berjaya masuk pertandingan itu.

“Abah pun tidak sempat tengok saya menyanyi di pentas. Masa saya masuk Mentor pun, dia dah tiada,” jelas Shiha.

Artikel Berkaitan:

Walaupun tidak sempat menyaksikan kejayaan Shiha atau nama lengkapnya Nurshiha Mohd Zikir di pentas-pentas besar seperti Anugerah Juara Lagu dan Anugerah MeleTOP Era, semangat arwah terus menjadi nadi utama dalam setiap langkah seninya.

“Hingga hari ini, saya hanya bawa semangat arwah abah saja dan saya lakukan ini untuk dia. Kalau arwah abah tidak ada, maka tak adalah juga seorang penyanyi bernama Shiha Zikir,” katanya sebak.

Dalam masa sama, Shiha amat berharap agar orang ramai dapat menerima lagu Renjana dengan baik serta dapat merasai kisah hidup yang cuba disampaikan.

“Saya juga baru berjinak-jinak sebagai komposer, harap orang ramai sudi beri sokongan. Di kesempatan ini juga saya mahu ucapkan terima kasih kepada sahabat saya Zimi yang sudi membantu saya dalam proses menggubah lagu ini,” kata Shiha.

Shiha memilih Sulaiman Yassin atau lebih dikenali sebagai Mat Over sebagai 'pengganti' bapanya dalam video muzik Renjana.
Shiha memilih Sulaiman Yassin atau lebih dikenali sebagai Mat Over sebagai 'pengganti' bapanya dalam video muzik Renjana.

Bersama pelancaran lagu ini, Shiha turut mengadakan sesi perkongsian kisah bersama peminat yang pernah kehilangan insan tersayang, satu inisiatif yang bakal dimuat naik di saluran YouTube dan media sosialnya.

Di penghujung bicara, Shiha meninggalkan satu pesan ringkas yang cukup mendalam.

“Hargailah ibu bapa kita terutama bagi yang masih ada. Jadilah anak yang berbakti sepenuh hati kepada mereka.

“Bukan apa, kalau suatu hari nanti mereka sudah tiada, rasa itu sangatlah sakit hingga sukar diungkap dengan kata-kata,” ujarnya menutup bicara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!