Penghargaan Chong Wei buat Tunku Mahkota Ismail

LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menzahirkan penghargaan buat Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di atas pelantikan sebagai penasihat badminton dan duta sukan negeri selatan tanah air itu.
Beliau amat berbesar hati dan berasa sangat rendah diri atas kepercayaan serta keyakinan yang telah diberikan itu sambil melahirkan kesediaan untuk bersama memajukan sukan di Johor dan Malaysia.
"Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tuanku atas peluang yang luar biasa ini.
"Terima kasih kepada pihak media dan rakan-rakan atas sokongan yang telah diberikan kepada saya selama ini," catat beliau menerusi Facebook pada Khamis.
Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu turut meluahkan perasaan menakjubkan buat Tunku Mahkota Ismail yang begitu komited bagi membangunkan sukan Johor.
"Semangat tuanku yang tidak berbelah bahagi terhadap sukan dan dedikasi baginda terhadap pembangunan sukan amat mengagumkan.
"Saya berkongsi komitmen ini dan akan berusaha sedaya upaya untuk memajukan pembangunan sukan di Johor dan Malaysia," ujar Chong Wei.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
