500 pesakit dialisis asnaf tak perlu bayar kos pengangkutan - Mohd Nai’im

KUALA LUMPUR - Seramai 500 pesakit dialisis dalam kalangan asnaf di Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS, Batu Muda di sini tidak lagi dibebani kos pengangkutan setiap kali hadir menerima rawatan.
Masalah itu kini selesai selepas sumbangan zakat berjumlah RM150,000 disalurkan oleh Bursa Malaysia dan Grab Malaysia melalui konsep wakalah zakat yang diuruskan Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Nai’im Mokhtar berkata, inisiatif itu berkuat kuasa serta-merta dan dijangka berterusan dalam memastikan pesakit tidak lagi perlu risau soal kos ulang alik ke pusat rawatan.
"Bantuan ini akan terus diagihkan secara segera dan kita pun tadi sudah mulakan secara simbolik penghantaran pesakit menggunakan pengangkutan disediakan.
“Sebelum ini memang ada van disediakan oleh PPZ-MAIWP, tetapi tak mencukupi sebab jumlah pesakit ramai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis ziarah Kasih Pusat Pungutan Zakat (PPZ)- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Sumbangan Kewangan Pengangkutan Pesakit Dialisis di Dewan Jabir Ibnu Hayyan, Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) Kampus, Kampung Batu Muda di sini pada Khamis.
Mohd Nai’im memberitahu, beliau yakin isu pengangkutan ke pusat hemodialisis itu tidak lagi timbul selepas ini.
Menurut beliau, keperluan pengangkutan akan terus ditanggung sama ada oleh MAIWP sendiri atau syarikat-syarikat yang menjadi rakan strategik dalam agihan zakat melalui konsep wakalah.
"Dengan adanya sistem dan jaringan sedia ada, termasuk pusat rawatan, PPZ mampu melaksanakan program kebajikan seperti ini secara berterusan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, sumbangan itu bukan sahaja memberi kelegaan kepada pesakit, malah membuktikan bahawa sinergi antara institusi agama dan syarikat korporat mampu menyelesaikan isu sebenar yang dihadapi masyarakat.
Tambahnya, sumbangan itu sangat bermakna kerana ia melengkapkan ekosistem zakat yang bukan sahaja memberi manfaat dari sudut rawatan tetapi juga menyelesaikan isu besar seperti kos pengangkutan dari rumah ke pusat rawatan.
“Zakat bukan hanya kutipan, tetapi perlu digerakkan agar menyentuh terus kehidupan golongan asnaf,” tambah beliau.
"Ramai dalam kalangan pesakit dialisis ini bukan tidak mahu hadir ke pusat rawatan, tetapi mereka tiada kemampuan untuk membayar tambang," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!