Lagi kes kemalangan disebabkan langgar lampu isyarat merah di Senawang

Tangkap layar video tular menunjukkan kemalangan membabitkan dua motosikal di lampu isyarat Matahari Height
Tangkap layar video tular menunjukkan kemalangan membabitkan dua motosikal di lampu isyarat Matahari Height
A
A
A

SEREMBAN - Selepas sebulan, berlaku lagi kemalangan disebabkan melanggar lampu isyarat merah di Matahari Height di Senawang di sini Isnin lalu.

Video kejadian kira-kira jam 9.28 malam itu turut tular di media sosial yang memaparkan perlanggaran membabitkan dua buah motosikal.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal dari arah Lavender Height menghala ke Bukit Blossom telah bergerak ketika lampu isyarat berwarna merah.

"Kemudian, datang sebuah motosikal dari arah Taman Sri Mawar melanggar bahagian sisi kiri motosikal tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua penunggang motosikal luka pada bahagian badan dan tangan.

Jelas beliau, kejadian tersebut turut tular di media sosial yang mana terdapat video berdurasi 19 saat memaparkan kejadian berlaku.

Sehubungan itu katanya, pemilik kamera papan pemuka dan individu yang mempunyai maklumat kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Syakinah Ahmad di talian 06-6033394 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!