Wanita dipukul majikan hanya cedera ringan, alami masalah kesihatan sedia ada - Polis

JOHOR BAHRU - Polis mengesahkan seorang pekerja wanita yang dipukul majikan dalam kejadian di sebuah pejabat di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, bulan lalu mempunyai masalah kesihatan sedia ada sebelum insiden tersebut dilaporkan berlaku.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, berdasarkan laporan perubatan hospital wanita berusia 34 tahun itu hanya mengalami calar serta kesan lebam di pergelangan tangan kiri.
Susulan itu jelasnya satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan berdasarkan kecederaan dialami mangsa.
“Hasil siasatan mendapati wanita itu sememangnya menghidap penyakit tersebut dan dimasukkan ke wad serta menjalani pembedahan yang tiada kaitan dengan insiden dipukul.
“Berdasarkan rakaman video kejadian dan laporan yang dibuat pengadu, polis telah merujuk kepada pegawai perubatan yang turut mengesahkan kecederaan dialami mangsa adalah ringan dan tidak berkait dengan kes pukul tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, pada Rabu.
Pada 15 Mei lalu, tular satu rakaman video selama 56 saat memaparkan seorang pekerja wanita dikasari majikannya di sebuah pejabat di Taman Kota Masai.
Rakaman tersebut menunjukkan seorang lelaki dipercayai majikan wanita terbabit bertengkar mulut dengannya sambil disaksikan seorang lagi wanita.
Pertengkaran tersebut bertukar tegang apabila lelaki berkenaan menarik wanita itu yang sedang duduk di kerusi hingga terjatuh sebelum menolaknya beberapa kali dan kemudian menariknya ke arah pintu untuk menghalaunya keluar dari pejabat.
Mohd Sohaimi berkata, pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan dan menyerahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Kita telah mencadangkan pertuduhan dan telah merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, namun masih menunggu keputusan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

