Bocor maklumat sulit, Public Bank diperintah bayar RM90 juta

Public Bank diperintah Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu, supaya membayar ganti rugi RM90 juta kepada National Feedlot Corporation (NFCorp) dan empat yang lain berhubung dakwaan kebocoran maklumat sulit akaun bank mereka, 13 tahun lalu. Gambar hiasan
Public Bank diperintah Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu, supaya membayar ganti rugi RM90 juta kepada National Feedlot Corporation (NFCorp) dan empat yang lain berhubung dakwaan kebocoran maklumat sulit akaun bank mereka, 13 tahun lalu. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Persekutuan pada Rabu memerintahkan Public Bank Bhd membayar ganti rugi berjumlah RM90 juta kepada National Feedlot Corporation (NFCorp) dan empat pihak lain berhubung dakwaan kebocoran maklumat sulit akaun bank mereka, 13 tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais, membuat keputusan tersebut semasa prosiding taksiran ganti rugi.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais, membuat keputusan tersebut semasa prosiding taksiran ganti rugi.

Mahkamah turut memerintahkan Public Bank membayar masing-masing RM30 juta sebagai ganti rugi saksama, teruk dan teladan, selain faedah dua peratus ke atas jumlah ganti rugi bermula Rabu sehingga semua pembayaran diselesaikan.

Hasnah dalam penghakimannya berkata, Mahkamah Persekutuan berpuas hati bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf apabila mendapati NFCorp dan empat lagi perayu gagal membuktikan jumlah ganti rugi yang dipohon, sekali gus hanya memberikan pampasan nominal RM10,000.

“Sebaliknya, mahkamah mendapati perayu telah mengemukakan laporan kewangan dan akaun yang diaudit melalui saksi pakar bagi menyokong tuntutan mereka,” katanya.

Mahkamah turut menegaskan bahawa Public Bank tidak mengemukakan bukti balas melalui dokumen atau saksi pakar untuk mencabar laporan kewangan tersebut, sebaliknya hanya mempertikaikan kredibiliti saksi pakar pihak perayu.

Pada 26 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Public Bank untuk mengetepikan saman RM560 juta oleh NFCorp dan empat yang lain berkaitan kebocoran maklumat sulit tersebut. Dalam masa sama, mahkamah membenarkan rayuan balas daripada pihak NFCorp untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang hanya memberi ganti rugi nominal.

Artikel Berkaitan:

Pada 29 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini menolak saman NFCorp bersama Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mohamad Salleh Ismail, dan tiga anak syarikat – National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, dan Real Food Company Sdn Bhd – terhadap Public Bank.

Untuk rekod, Mohamad Salleh ialah suami kepada bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Saman berjumlah RM560 juta itu difailkan pada 2012 atas dakwaan bahawa maklumat perbankan sulit NFCorp dan tiga anak syarikatnya telah disebarkan secara meluas kepada umum oleh pihak bank.

Pada 30 Ogos 2023, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Public Bank perlu membayar ganti rugi kepada NFCorp dan empat pihak lain, namun hanya menetapkan pampasan nominal.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, kelima-lima pihak berkenaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan, manakala Public Bank pula merayu berhubung isu liabiliti.

Dalam saman itu, perayu mendakwa kebocoran maklumat akaun mereka telah digunakan oleh Naib Presiden PKR ketika itu, Datuk Rafizi Ramli, untuk menyokong dakwaan bahawa mereka telah menyalahgunakan pinjaman kerajaan bagi membeli lapan hartanah di KL Eco City.

Mereka turut mendakwa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka telah terjejas teruk serta mengalami kerugian yang tidak boleh diperbaiki akibat pelanggaran terhadap Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) oleh pihak bank.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!