WCE bakal laksana kutipan tol di Seksyen 2 bermula tengah malam ini

SHAH ALAM - Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan mula melaksanakan kutipan tol bagi Jajaran Seksyen 2 bermula Jumaat.
WCE dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, kawasan yang terlibat ialah laluan yang menghubungkan persimpangan bertingkat SAE (KESAS) ke persimpangan bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan persimpangan bertingkat Banting, bermula jam 12.01 tengah malam.
Jajaran Seksyen 2 sepanjang 7.2 kilometer iaitu bermula dari persimpangan bertingkat SAE – persimpangan bertingkat SKVE telah dibuka secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi pada 22 Januari lalu.
“Kadar tol di Seksyen 2 Lebuhraya WCE berintegrasi sepenuhnya dengan Lebuhraya SKVE melalui Persimpangan Tanjung Dua Belas.
“Kadar tol yang dikenakan telah mengambil kira keseluruhan perjalanan pengguna, termasuk bahagian perjalanan di Lebuhraya SKVE. Kutipan tol Seksyen 2 ini akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch 'N Go, Smart Tag dan RFID,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
WCE adalah projek lebuh raya utama di Malaysia sepanjang 233km dari Banting, Selangor hingga ke Taiping (Changkat Jering), Perak.
Apabila siap sepenuhnya kelak, ia akan berfungsi sebagai nadi penting pengangkutan, yang akan menghubungkan bandar-bandar di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia.
WCE turut menasihatkan pengguna untuk memastikan baki e-wallet dan kad Touch 'N Go mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa melalui plaza tol.
Untuk maklumat lanjut mengenai kadar tol dan cara pembayaran, orang ramai boleh layari laman web WCE atau muat turun aplikasi WCE App.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!