Zon Teknologi Tinggi bakal dibina di Pahang

Mohamad Nizar Majlis Pelancaran AI for Productivity Transformation dan Majlis Penutup Program SPEED GCPV di Pahang Skills di sini, pada Isnin. Foto Sinar Harian.
Mohamad Nizar Majlis Pelancaran AI for Productivity Transformation dan Majlis Penutup Program SPEED GCPV di Pahang Skills di sini, pada Isnin. Foto Sinar Harian.
A
A
A

KUANTAN – Zon Teknologi Tinggi Pahang bakal dibangunkan bagi menghimpunkan syarikat-syarikat dalam bidang kecerdasan buatan (AI), automasi dan data besar, menjadikan negeri ini antara pusat utama teknologi di Pantai Timur.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib, berkata lokasi bagi zon berkenaan masih dalam peringkat perbincangan namun dijangka dibangunkan di sekitar Kuantan.

Menurutnya, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk melatih bakat tempatan dalam bidang teknologi serta menarik pelabur tempatan dan antarabangsa untuk beroperasi di Pahang.

“Kami hendak menarik syarikat-syarikat AI untuk berpangkalan di Pantai Timur dan menjadi sebahagian daripada ekosistem teknologi di rantau ini.

“Malah, syarikat perintis dalam sektor ini juga sedang dibangunkan di Pahang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran AI for Productivity Transformation dan Majlis Penutup Program SPEED GCPV di Pahang Skills, di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Pengurusan Pahang Skills, Datuk Masut Awang Samah; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Datuk Mohd Faizal Jaafar dan Pengarah MPC Pahang, Dr Noor Aishah Hassan.

Mohamad Nizar berkata, penggunaan teknologi AI kini bukan lagi bersifat pilihan, sebaliknya keperluan dalam pelbagai sektor termasuk pentadbiran, industri dan kehidupan seharian.

“Teknologi ini, sama ada kita suka atau tidak, pasti hadir dan akan mengubah cara kita bekerja, cara industri beroperasi dan proses dalam sektor pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, masyarakat di negeri ini perlu bersiap siaga menghadapi cabaran dan peluang yang dibawa oleh perkembangan teknologi ini,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 300 syarikat dalam sektor AI, dengan 30 syarikat akan diberi bimbingan intensif melalui kerjasama strategik bersama agensi seperti Malaysia Productivity Corporation (MPC) dan Pahang Skills.

“Daripada 300 itu, 30 syarikat akan diberi bimbingan secara langsung (handholding) agar benar-benar bersedia dari segi produktiviti dan inovasi,” jelasnya.

Mengulas mengenai perancangan pembangunan solar terapung di Pahang, Mohamad Nizar berkata, beberapa kawasan termasuk empangan, tasik dan lombong sedang dikenal pasti, termasuk Empangan Chereh di Sungai Lembing yang berpotensi untuk projek tersebut.

Tambah beliau, pelaksanaan projek solar itu dijangka bermula dalam tempoh dua tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Pahang berpotensi menjadi pembekal utama tenaga boleh diperbaharui di negara ini sekiranya sumber semula jadi dimanfaatkan secara menyeluruh.

Katanya, selain tenaga solar, kerajaan negeri turut meninjau teknologi alternatif seperti mini hidro dan tidak menolak kemungkinan untuk mengkaji semula potensi tenaga nuklear berskala kecil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!