Lelaki tiba-tiba rebah sebelum didakwa di mahkamah

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki secara tiba-tiba rebah sebelum proses pendakwaan dan perbicaraan di Mahkamah Majistret 3 Sungai Petani di sini bermula, dalam kejadian lebih kurang jam 10 pagi pada Selasa.
Lelaki berusia 40-an itu dipercayai sedang menunggu proses pendakwaan, sebelum disedari petugas mahkamah rebah dan pengsan.
Kakitangan bertugas termasuk anggota polis yang berada di lokasi kejadian kemudian memindahkan lelaki berkenaan keluar dari mahkamah untuk diberi rawatan awal.
Difahamkan, dia mempunyai kaitan dengan kes membabitkan siasatan bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.
Kira-kira 15 minit kemudian, lelaki itu kembali sedar dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk rawatan lanjut.
Keadaan bagaimanapun kembali terkawal dan kes-kes pendakwaan lain diteruskan seperti biasa.
Pendakwaan yang dikaitkan dengan lelaki terbabit difahamkan akan dilakukan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

