Terputus hubungan empat hari, tiga kru termasuk tekong hilang

LANGKAWI – Seorang kru berjaya diselamatkan manakala tiga lagi masih hilang selepas sebuah vesel nelayan yang membawa empat kru dilaporkan tenggelam di perairan Kuala Teriang di sini pada Selasa.
Mangsa yang diselamatkan dikenali sebagai Basri Mohd Nor, 47, selepas ditemui sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, tiga lagi kru termasuk tekong vesel, Kee Swee Kiat, 51, masih belum ditemukan.
Menurutnya, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima maklumat awal mengenai kejadian itu daripada Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kedah pada jam 4.35 petang, Selasa.
"Laporan berkenaan dibuat selepas pemilik vesel gagal menghubungi bot nelayan bernombor pendaftaran KF 5420 (B) itu.
"Berdasarkan maklumat awal, vesel berkenaan kali terakhir dapat dihubungi pada 8 November lalu, jam 11.33 malam ketika berada kira-kira lapan batu nautika ke barat Pulau Burau, Langkawi," katanya pada Rabu.
Mohamad Shukri berkata, mangsa yang berjaya diselamatkan kemudian dipindahkan ke aset Bot Penyelamat 5 Maritim Malaysia yang sedang menjalankan operasi di sektor berkenaan.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) disambung semula pada jam 7.30 pagi Rabu dengan melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu KM Sugut dan Bot Kilat 6 serta Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi aset PLC 5.
"Operasi pencarian dilaksanakan berpandukan janaan Sistem SAROPS dengan membahagikan kawasan pencarian kepada tiga sektor bagi memastikan liputan lebih sistematik dan menyeluruh.
"Selain itu, Pusat Kawalan Hadapan (PHC) turut ditubuhkan di MRSC Langkawi bagi menyelaras pergerakan aset, penugasan anggota serta perkembangan operasi secara berterusan," ujarnya.
Beliau berkata, Maritim Malaysia terus mempergiat usaha pencarian menerusi penyelarasan bersama agensi sahabat dan komuniti maritim setempat bagi meningkatkan keberkesanan operasi serta memperluas liputan pengesanan mangsa.
Sehubungan itu, komuniti maritim dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-966 2750 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

