[VIDEO] Hospital Sultanah Aminah bakal miliki parkir bertingkat
JOHOR BAHRU - Pelaksanaan makmal kajian nilai atau Value Assessment (VA) Lab bagi pembinaan tempat letak kenderaan bertingkat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini telah selesai dilakukan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek berkenaan kini menunggu laporan penuh sebelum garis masa sebenar pembinaan dapat ditentukan.
“Peruntukan bagi pembinaan parkir bertingkat telah diluluskan dan proses penilaian teknikal juga telah diselesaikan.
"Sekarang ini, kita masih menunggu laporan lengkap untuk mengetahui tarikh pelaksanaan sebenar,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke HSA, di sini pada Selasa.

Menurut Onn Hafiz, kerajaan negeri maklum mengenai kesesakan tempat letak kenderaan di hospital tersebut terutamanya pada hujung minggu.
“Buat masa ini, alternatif parkir adalah di kawasan berhadapan HSA. Kita bimbang aspek keselamatan sekiranya kenderaan diletakkan di bahu jalan utama,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerja-kerja naik taraf membabitkan lapan buah wad sedang giat dijalankan dengan salah satu daripadanya dijangka dibuka kepada pesakit bermula esok.

“Kita sedia maklum bahawa HSA adalah antara hospital paling sibuk di negara ini dengan jumlah pesakit harian mencecah kira-kira 2,000 orang.
“Justeru, tumpuan serius diberikan oleh Exco Kesihatan dan saya sendiri untuk memastikan semua pelaksanaan berjalan dengan lancar.
"Mana-mana perkara yang boleh dipercepatkan, saya telah arahkan untuk dipercepatkan,” katanya.
Untuk rekod, pada September 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja naik taraf fasa pertama di HSA.
Antara cadangan yang terlibat dalam peruntukan tersebut termasuk pembinaan poliklinik baharu dan tempat letak kenderaan bertingkat bagi mengatasi isu kesesakan harian yang dihadapi hospital berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!