Israel bedil stesen televisyen Iran

TEHERAN - [DIKEMAS KINI] Ibu pejabat stesen televisyen dan radio Iran menjadi sasaran bedilan rejim Zionis ketika serangan misil bertubi-tubi ke atas negara itu memasuki hari keempat pada Isnin.
Stesen Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB) di ibu kota diserang ketika Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memperhebatkan kempen pengeboman mereka.
Serangan ganas itu berlaku ketika siaran langsung sedang berlangsung, hingga menyebabkan studio tersebut diselubungi debu. Beberapa saat kemudian, satu letupan kuat menggegar skrin di belakang hos wanita berkenaan.
Beliau segera mematikan kamera dan kedengaran suaranya melaungkan “Allahu Akbar” sambil menangis. Saluran tersebut kemudiannya bertukar kepada rakaman terdahulu.
Sementara itu, wartawan Younes Shadlou memaklumkan bahawa ramai rakannya masih terperangkap di dalam bangunan ketika ia dibedil oleh IDF.
“Saya tidak tahu jumlah sebenar mereka. Kami sudah diarahkan untuk berpindah, tetapi ramai yang enggan berganjak kerana mahu melaporkan kekejaman sebenar Zionis kepada dunia,” katanya ketika membuat liputan di luar ibu pejabat media tersebut yang terbakar.
Ketua IRIB, Peyman Jebeli dalam satu kenyataan menegaskan bahawa serangan ke atas ibu pejabat mereka berlaku kerana IRIB menyasarkan strategi media musuh dengan tepat.
“Staf rangkaian media negara mengisytiharkan keazaman mereka untuk terus memainkan peranan dalam perang hibrid yang dimulakan oleh Israel,” katanya. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!