Israel lockdown Tebing Barat

RAMALLAH - Israel telah mengenakan lockdown ke atas Tebing Barat, menyekat laluan masuk ke bandar serta perkampungan di wilayah itu dengan sekatan besi dan penghadang konkrit ketika ia melancarkan siri serangan ke atas Iran.
Sekatan ketat itu dilaksanakan Zionis sejak Jumaat ketika Pasukan Pertahanan Israel (IDF) terus memperhebatkan kempen pencerobohan ke atas Tebing Barat.

Selain menyekat akses ke bandar dan perkampungan, Zionis turut mengehadkan pergerakan penduduk Palestin dengan menubuhkan pos pemeriksaan.
IDF telah meningkatkan kehadiran anggota mereka di bandar el-Bireh dan Ramallah serta pusat pemeriksaan ditubuhkan di Nablus, Hebron, Qalqilya dan Lembah Jordan.
Sekatan pergerakan sedemikian telah menjejaskan kegiatan harian kumpulan petani dan pengangkutan hasil pertanian mereka.
"Perintah lockdown mengejut itu turut melumpuhkan aktiviti penduduk Palestin di seluruh Tebing Barat, menyekat akses mereka kepada perkhidmatan penting dan memberi kesan kepada ekonomi," menurut laporan agensi berita Wafa.
Menurut penduduk Palestin, askar Zionis sewenang-wenangnya melepaskan tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah mereka jika cuba menghampiri pos pemeriksaan.
Di beberapa kawasan lain, anggota IDF bertindak mengusir puluhan keluarga dari kediaman mereka dan menjadikan struktur berkenaan sebagai kedudukan tentera.
Penduduk Palestin yang kini terkepung percaya tindakan Tel Aviv itu bertujuan untuk merampas tanah milik mereka dan memperluaskan projek penempatan haram Yahudi.
Dianggarkan, terdapat kira-kira tiga juta penduduk Palestin mendiami Tebing Barat bersama 700,000 pendatang Yahudi.

Sejak Januari lalu, IDF melancarkan operasi ketenteraan ke atas tiga kem pelarian Palestin di Jenin dan Tulkarem.
Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 137 penduduk Palestin termasuk 27 kanak-kanak terkorban akibat siri serbuan ganas itu.
Cedera kena serpihan misil
Poster diedarkan Tel Aviv mendakwa lockdown itu kononnya sebagai 'langkah pencegahan awal' dan menyatakan sekatan akan berkuat kuasa sehingga notis selanjutnya berserta kapsyen berunsur provokasi, 'keganasan hanya membawa kematian dan kemusnahan'.
Pelampau Yahudi pula berterusan menyerang harta benda milik penduduk Palestin dan ada yang cuba mengeksploitasi sekatan itu untuk menubuhkan kawasan penempatan haram baharu.

Ketika mesyuarat Kabinet Israel pada Khamis lalu, kerajaan 'ekstremis' tersebut mengumumkan rancangan jahat mereka untuk mengilhak Tebing Barat dan Genting Gaza.
Menteri Warisan Israel, Amichai Eliyahu turut mencadangkan pelan keji sama ke atas Syria dan Lubnan.
Ketika Teheran dan Tel Aviv saling berbalas serangan, sebahagian misil yang ditembak jatuh Israel telah jatuh di Tebing Barat.
Tidak seperti Israel, penduduk Palestin tidak mempunyai akses kepada bunker atau bilik berlindung khas.
Puluhan mangsa dilaporkan cedera terkena serpihan peluru berpandu yang dipintas sistem pertahanan udara Zionis.
Penduduk Palestin kini 'terperangkap' di bawah hujan misil yang bertali arus meskipun Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) menegaskan Tebing Barat bukanlah sebahagian daripada zon perang. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

