Potongan cukai tanah rizab Melayu Johor diperluas kepada lima hektar

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (dua, kanan) ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Puteri hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (dua, kanan) ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Puteri hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Potongan cukai tanah 50 peratus bagi rizab Melayu di Johor diperluaskan dari empat hektar kepada lima hektar, kata Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini setelah mengambil kira keadaan semasa ekonomi rakyat yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19).

“Penambahan sebanyak satu hektar ini, kami yakin dapat memberi manfaat kepada pemilik tanah khususnya dalam kalangan peneroka Felda dan penduduk kawasan luar bandar,” katanya pada sidang akhbar sejurus mempengerusikan mesyuarat itu di Kota Iskandar hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan melanjutkan tempoh bayaran cukai itu bagi meringankan beban rakyat.

“Ia (tempoh bayaran) akan ditentukan Pejabat Tanah Daerah (PTD) tetapi yang pasti ia tidak menjejaskan hasil kutipan kerajaan negeri,” katanya.

Bagi membantu sektor perhotelan pula, Hasni berkata, agensi kerajaan negeri akan dibenar semula mengadakan majlis atau program di hotel bagi membantu meningkatkan perniagaan sektor perhotelan.

"Kami menyedari sektor perhotelan khususnya di kawasan bandar merosot, maka, kami buat keputusan agar program kerajaan boleh diadakan di hotel untuk merancakkan lagi ekonomi dan perniagaan mereka," katanya.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani dan barisan Exco Johor. - Bernama

Artikel Berkaitan: