'Perbelanjaan Tun M ke Jepun tidak wajar dipertikai'

SHAH ALAM - Perbelanjaan sehingga RM486,000 bagi membiayai lawatan dua hari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jepun untuk menghadiri Forum Nikkei tidak sepatutnya dipertikai mengambil kira status beliau sebagai seorang negarawan ulung negara.
Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata, sebagai figura penting dalam sejarah pembangunan Malaysia serta suara berpengaruh di peringkat antarabangsa, kehadiran Dr Mahathir membawa nilai diplomatik, imej negara dan hubungan dua hala yang tidak ternilai.

“Perbelanjaan dan pembiayaan ini harus boleh dilakukan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan penjelasan, bagi saya masih ada pulangan reputasi. Kita akan dilihat sebagai tidak mengetepikan negarawan.
“Apatah lagi ke Jepun, negara tersebut amat menghormati golongan berusia dan pencen.
"Secara tidak langsung, kita menunjukkan satu contoh yang baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, Pemuda MCA mengkritik keputusan kerajaan meluluskan perbelanjaan sehingga RM486,000 untuk membiayai lawatan dua hari bekas PM, Dr Mahathir Mohamad ke Jepun bagi menghadiri Forum Nikkei.
Sayap MCA itu juga mempersoalkan keutamaan kewangan kerajaan pada waktu rakyat sedang berdepan tekanan ekonomi.
Kritikan tersebut turut menegaskan bahawa purata pendapatan tahunan pekerja Malaysia adalah kurang daripada RM25,000 namun kerajaan sanggup memperuntukkan hampir setengah juta ringgit untuk menghantar tujuh orang ke luar negara hanya untuk dua hari.
Sementara itu, Baharom berpandangan, isu berkenaan bukan semata-mata tentang peranan Dr Mahathir, tetapi lebih kepada pengiktirafan dan pengukuhan nilai budaya sebagai sebuah negara yang tidak menyisihkan mana-mana individu, walaupun berbeza pandangan politik.
“Kita masih menghormati jasa dan sumbangan beliau kepada negara.
"Lebih-lebih lagi dalam konteks budaya Jepun yang sangat menekankan penghormatan terhadap warga emas dan bekas pemimpin, penolakan kehadiran beliau dalam forum seperti ini boleh memberi isyarat yang kurang baik terhadap imej dan hubungan diplomatik negara.
“Jika perkara ini ditolak atau dipersoalkan secara tidak wajar, ia mungkin menimbulkan persepsi bahawa kita tidak menghargai sumbangan tokoh negarawan dan dilihat terlalu berkira yang akhirnya memberi kesan lebih buruk kepada reputasi negara,” katanya.
Jelas beliau, Dr Mahathir bukan sahaja pernah menerajui negara untuk tempoh yang panjang, tetapi beliau juga sinonim dengan Forum Nikkei, sebuah platform yang mengiktiraf kepimpinan dan pandangan beliau di peringkat antarabangsa.
“Pada hemat saya, perbelanjaan yang diperuntukkan adalah wajar kerana pulangannya adalah besar dari sudut reputasi, nilai moral, estetika, serta penghormatan terhadap warisan kepimpinan negara,” katanya.
Sementara itu, Veteran UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berpendapat, tidak menjadi kemestian dengan menggunakan kos sangat tinggi seumpama itu.

“Pada ketika ini perlu ada satu usaha bagi menunjukkan kita tak boleh berbelanja tinggi menggunakan duit rakyat.
“Namun boleh bagi bantuan kepada Tun M tapi bukan dengan cara menggunakan perbelanjaan yang tinggi menggunakan duit rakyat, saya fikir di situ kurang waras,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!