Kesan positif ada ramai usahawan

Lebih tiga juta rakyat Malaysia kini berada dalam kategori bekerja sendiri termasuk peniaga kecil, penjaja, pengendali gerai makanan, pekebun kecil, pekerja informal dan pekerja gig. Gambar hiasan (Gambar kecil: Ahmed Razman, Nik Maheran)
Lebih tiga juta rakyat Malaysia kini berada dalam kategori bekerja sendiri termasuk peniaga kecil, penjaja, pengendali gerai makanan, pekebun kecil, pekerja informal dan pekerja gig. Gambar hiasan (Gambar kecil: Ahmed Razman, Nik Maheran)
A
A
A

SHAH ALAM - Peningkatan rakyat Malaysia yang bekerja sendiri boleh dianggap sebagai satu senario positif dalam memacu ekonomi domestik sekiranya perniagaan yang dijalankan bersifat mampan.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, situasi itu mampu memberi pulangan pendapatan yang stabil setiap bulan serta berpotensi berkembang menjadi perniagaan lebih besar pada masa hadapan.

“Perniagaan tersebut seharusnya menawarkan barangan dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah serta memenuhi kehendak pelanggan.

“Jika bekerja sendiri itu bermaksud terlibat dalam sektor tertentu seperti e-hailing atau p-hailing, ia lebih bersifat jangka masa pendek. Maka perlu ada usaha ke arah perniagaan yang lebih mampan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini dilaporkan lebih tiga juta rakyat Malaysia kini berada dalam kategori bekerja sendiri termasuk peniaga kecil, penjaja, pengendali gerai makanan, pekebun kecil, pekerja informal dan pekerja gig.

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) dalam satu nota penyelidikan menyatakan, jumlah rakyat Malaysia yang bekerja sendiri terus mencatat peningkatan sejak Januari 2021, iaitu seramai 2.39 juta orang kepada paras tertinggi baharu sebanyak 3.16 juta orang pada April 2025.

Berikutan itu, Maybank IB menyimpulkan bahawa kadar pengangguran pada April 2025 yang julung kali mencapai tiga peratus — paras terendah dalam tempoh 10 tahun — dipengaruhi oleh peningkatan pekerjaan dalam sektor tidak formal.

Situasi itu turut disokong oleh data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang melaporkan peningkatan pembuangan pekerja sebanyak 29.7 peratus dari bulan ke bulan.

Tambah Ahmed Razman, kebiasaannya pekerja yang diberhentikan akan mencari pekerjaan dalam sektor sama seperti sebelumnya dan tidak semestinya menyertai ekonomi gig.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, kebimbangan terhadap lambakan kerja dalam sektor ekonomi gig tidak begitu ketara, tetapi mungkin lebih ramai yang akan cuba berniaga sendiri di platform dalam talian dan media sosial atau membuka gerai,” katanya.

Sementara itu, Profesor Kewangan dan Keusahawanan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, peningkatan individu yang bekerja sendiri membuktikan wujudnya inisiatif keusahawanan dan daya tahan rakyat untuk mencari pendapatan alternatif dalam suasana ekonomi mencabar.

Namun ujarnya, aspek kualiti pekerjaan dan kestabilan pendapatan harus diberi perhatian.

“Banyak pekerjaan sendiri, terutama dalam sektor tidak formal, tidak mempunyai perlindungan sosial seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), tiada pendapatan tetap, dan berisiko tinggi terhadap kejutan ekonomi.

“Jika tidak diurus dengan baik, ia boleh membawa kepada masalah kemiskinan bandar atau ketidaksamaan ekonomi,” katanya.

Perlu sokongan

Walaupun peningkatan ini membantu mengurangkan kadar pengangguran, beliau menegaskan bahawa ia perlu disokong dengan latihan kemahiran, perlindungan sosial dan akses kepada modal supaya benar-benar menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi domestik secara mampan.

Nik Maheran turut menyuarakan kebimbangan terhadap lambakan pekerjaan dalam sektor gig kerana ramai kehilangan kerja dalam sektor formal, sekali gus menurunkan purata pendapatan disebabkan persaingan sengit.

Ujarnya, kesan lambakan dalam sektor gig boleh membawa kepada eksploitasi tenaga kerja, terutama apabila tiada perlindungan asas seperti gaji minimum, waktu kerja munasabah dan insurans.

“Selain itu, ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan boleh berlaku, dan akhirnya menyebabkan ramai pekerja berada dalam situasi pekerjaan di bawah kelayakan atau bekerja dalam waktu minimum,” kata beliau.

Tambahnya, beberapa pekerjaan tidak formal lain turut menyumbang kepada ekonomi semasa, antaranya perkhidmatan profesional bebas seperti reka grafik, penulisan kandungan, penterjemahan, pengaturcaraan dan pemasaran digital.

“Selain itu, perniagaan berasaskan media sosial, serta sektor perkhidmatan domestik dan penjagaan seperti pengasuh kanak-kanak, penjaga warga emas, tukang cuci rumah dan penjagaan sementara juga menunjukkan perkembangan yang positif.

“Pertanian bandar dan pekebun kecil turut memainkan peranan penting, merangkumi kegiatan seperti pertanian hidroponik dan agropreneur di kawasan pinggir bandar.

“Tidak ketinggalan, perniagaan makanan berasaskan gerai atau rumah seperti pembuat kek dari rumah, perkhidmatan katering kecil serta jualan di pasar malam turut menjadi antara sumber pendapatan bagi ramai rakyat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!