Trump segerakan usaha pengusiran besar-besaran pendatang walaupun dibantah

Donald Trump. Foto AFP
Donald Trump. Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memperhebat pendirian tegasnya terhadap isu imigresen dengan menuntut perluasan besar-besaran operasi penahanan dan pengusiran oleh Agensi Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Melalui satu hantaran di platform Truth Social lewat Ahad, presiden dari Parti Republikan itu menggesa ICE dan agensi lain untuk "melakukan segala yang termampu" bagi melaksanakan apa yang digambarkannya sebagai "Program Pengusiran Besar-Besaran Terbesar dalam Sejarah.”

Trump secara khusus menyasarkan bandar raya yang diterajui Demokrat, termasuk Los Angeles, Chicago dan New York, dengan menggesa ejen persekutuan mempertingkat usaha penguatkuasaan.

Pendekatan keras presiden itu mencetuskan protes besar-besaran di beberapa bandar raya utama AS.

Tunjuk perasaan di AS semakin memuncak baru-baru ini selepas Trump mengerahkan tentera Pengawal Kebangsaan dan marin ke Los Angeles, tindakan yang mendapat tentangan keras daripada Gabenor California Gavin Newsom, seorang tokoh Demokrat dan berpotensi menjadi calon presiden pada 2028.

Pengusiran besar-besaran adalah janji utama semasa kempen pilihan raya Trump dan sejak memegang jawatan, pentadbirannya melancarkan serbuan yang disertai kenyataan media, gambar dan kemas kini berkala tentang pengusiran bagi menunjukkan usaha mereka.

Dianggarkan kira-kira 11 juta orang kini tinggal di AS tanpa dokumen yang sah. Ramai daripada mereka bekerja dalam sektor penting ekonomi seperti pertanian, pembinaan dan perhotelan.

Dalam konteks ini, Trump baru-baru ini membuat pindaan yang ketara.

Artikel Berkaitan:

Namun pada Khamis, beliau menyatakan hasrat untuk mengecualikan industri pertanian serta hotel daripada tindakan keras imigresen.

"Peladang kita yang hebat dan mereka dalam sektor hotel dan rekreasi berkata dasar imigresen kita yang amat agresif menyebabkan mereka kehilangan pekerja yang sudah lama berkhidmat dan pekerjaan itu hampir mustahil untuk diganti,” jelas catatan Trump di Truth Social.

Akhbar The New York Times melaporkan dengan memetik pegawai kerajaan, perubahan itu berlaku selepas Setiausaha Pertanian Brooke Rollins menghubungi Trump dan menyatakan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan pemilik ladang. - Bernama-dpa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!