Satu kes positif Covid-19 di Pulau Pinang

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang mengesahkan terdapat satu kes positif koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr Asmayani Khalib memaklumkan terdapat satu kes positif Covid-19 di negeri ini semasa menyampaikan taklimat kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pagi tadi.

"Kami dimaklumkan oleh beliau bahawa keadaan adalah terkawal walaupun sehingga kini disahkan terdapat satu kes positif Covid-19 di negeri ini.

"Umumnya, kerajaan negeri menyokong segala usaha yang dilaksanakan oleh JKNPP terutamanya dalam memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat negeri ini berada dalam keadaan terus terjamin," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan bersama -sama JKNPP menangani isu serta penularan wabak ini terutamanya dalam meningkatkan saluran komunikasi rasmi yang tepat serta sahih bagi mengelakkan keadaan panik masyarakat umum termasuk menyangkal berita-berita palsu disebarkan secara tidak bertanggungjawab oleh pihak ketiga.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menghormati dan menyokong protokol serta Prosedur Operasi Standard (SOP) dipraktikkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menghadapi isu serta wabak Covid-19 kini.

"Adalah tidak menjadi keperluan kepada kerajaan negeri untuk mewujudkan protokol baru memandangkan praktis KKM kini adalah berdasarkan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"JKNPP akan terus mengetuai dan memberikan panduan-panduan perlu kepada semua agensi berhubung isu ini," katanya.

Artikel Berkaitan: