Usaha meramal tarikh kiamat adalah tidak wajar - Pejabat Mufti WP

Waktu berlakunya kiamat adalah ilmu ghaib yang hanya diketahui oleh ALLAH SWT. Foto Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Waktu berlakunya kiamat adalah ilmu ghaib yang hanya diketahui oleh ALLAH SWT. Foto Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
A
A
A

SHAH ALAM – Usaha meramal tarikh kiamat secara pasti adalah tidak wajar kerana ia merupakan satu bentuk pelanggaran terhadap batasan ilmu manusia dan penyimpangan daripada petunjuk wahyu.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, Islam menegaskan bahawa waktu berlakunya kiamat adalah ilmu ghaib yang hanya diketahui oleh ALLAH SWT.

Menurutnya, isu-isu akhir zaman yang disampaikan tanpa panduan wahyu dan disiplin ilmu yang tepat bukan sahaja membuka ruang kepada kekeliruan akidah, malah turut menjejaskan matlamat utama syariah.

“Matlamat tersebut antaranya adalah pemeliharaan agama, akal, nyawa, harta dan keselamatan sosial. Justeru, usaha meramal tarikh kiamat secara pasti adalah tidak wajar.

“Peranan ulama, pendakwah dan institusi agama amat penting untuk meluruskan kefahaman masyarakat dengan mengembalikan perbincangan akhir zaman kepada kerangka ilmu yang muktabar serta berpandukan maqasid syariah,” katanya menerusi Facebook pada Isnin.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab persoalan berhubung fenomena penyebaran tanda-tanda besar kiamat seperti pembunuhan berleluasa, kemunculan al-Mahdi, Dajjal serta Yakjuj dan Makjuj yang semakin menjadi bahan tular dalam media arus perdana.

Ia sebagaimana konflik Iran dan Israel yang berlaku pada masa kini turut dikaitkan dengan kemungkinan akhir zaman kerana pertelingkahan kedua-dua negara itu boleh mencetuskan perang yang melibatkan negara besar dunia, seterusnya pembunuhan beramai-ramai.

Tambah kenyataan tersebut, masyarakat perlu dididik agar lebih memberi perhatian kepada amal soleh dan persiapan rohani serta menjauhi fahaman ekstrem, teori konspirasi dan eksploitasi agama yang membinasakan.

Artikel Berkaitan:

“Menjernihkan cerita sensasi tentang akhir zaman bukan semata-mata usaha membetulkan fakta, bahkan merupakan langkah membina umat yang berilmu, berpandangan jauh dan beramal dengan kesedaran bahawa masa depan bukan untuk diramal, tetapi dipersiapkan dengan takwa serta hikmah,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!