IPAS 2025 saksi penting kemajuan industri aeroangkasa Selangor - Amirudin

Amirudin (tengah) mempengerusikan mesyuarat persiapan akhir menjelang IPAS 2025 di Paris, Perancis.
Amirudin (tengah) mempengerusikan mesyuarat persiapan akhir menjelang IPAS 2025 di Paris, Perancis.
A
A
A

SHAH ALAM – Penganjuran International Paris Air Show (IPAS) 2025 yang bermula Isnin bakal menjadi detik penting dalam perkembangan industri aeroangkasa negeri Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelbagai inisiatif strategik akan dilancarkan sepanjang acara berprestij itu berlangsung.

Menurutnya, antara agenda utama yang akan diketengahkan ialah pelancaran khas Selangor Aero Park dan pertukaran Surat Hasrat (Letter of Intent) antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Industri Aeroangkasa Negara (NAICO).

“IPAS 2025 menjadi saksi penting terhadap perkembangan industri aeroangkasa di Selangor.

“Kita akan mempamerkan komitmen dan potensi besar negeri ini dalam industri berteknologi tinggi dan berimpak tinggi seperti aeroangkasa,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Amirudin memberitahu, sebanyak 11 syarikat dari Malaysia akan menyertai pameran itu dengan lima daripadanya berpangkalan di Selangor.

“Misi ini amat penting untuk membuka lebih banyak peluang kerjasama antarabangsa dan mengukuhkan jenama Selangor sebagai pemain utama dalam ekosistem aeroangkasa,” katanya.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat persiapan akhir menjelang IPAS 2025 di Paris, Perancis.

Artikel Berkaitan:

Delegasi Selangor disertai Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim; Exco Pelaburan dan Mobiliti, Ng Sze Han; wakil MBI Selangor dan Invest Selangor.

Delegasi turut menerima taklimat perjalanan program daripada pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan MIDA Paris sebelum sesi perbincangan lanjut bersama NAICO dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!