Wira dalam diam, pengorbanan tiada penghujung

SEORANG bapa bukan sekadar individu biasa dalam kehidupan isteri dan anak-anak tetapi hero yang menjadi benteng utama melindungi kesejahteraan keluarga.
Ini kerana tanggungjawab bapa tidak hanya sebagai pencari nafkah sebaliknya memikul amanah besar mencorak kepimpinan dan pembentukan nilai.
Sejak melangkah ke alam perkahwinan, seorang lelaki itu sudah bersedia mengorbankan masa, tenaga dan impian sendiri demi kebahagiaan anak-anak serta pasangan.
Namun, di sebalik keteguhan dan kecekalan yang diperlihatkan, tersimpan kisah yang tidak pernah diceritakan iaitu tentang beban ditanggung, kesulitan dihadapi dan pengorbanan yang perlu dilakukan secara senyap.
Bagi mereka, biarlah semua itu menjadi rahsia sepanjang hayat demi memastikan isteri dan anak-anak mendapat keperluan mencukupi.
Setiap bapa memiliki perjalanan yang berbeza dalam membentuk kehidupan keluarga.
Ada yang terpaksa berhadapan dengan cabaran ekonomi namun tidak berputus asa berusaha sedaya upaya mencari peluang untuk memperbaiki taraf kehidupan keluarga.
Tidak kurang juga yang terpaksa berjauhan dengan anak-anak kerana tuntutan kerja yang tidak dapat dielakkan.
Di sebalik segala usaha ini, seorang bapa jarang sekali mengadu keletihan atau kesusahan yang dialami. Apatah lagi untuk melihat mereka menitiskan air mata.
Meskipun demikian, ada yang diuji dengan kesakitan dan kehilangan keupayaan untuk bekerja.
Ada pula yang tersilap langkah dalam mencari jalan keluar daripada kesempitan hidup, akhirnya terjerumus ke dalam keadaan yang tidak diingini.
Hakikatnya, menjadi seorang bapa bukan sekadar menggalas gelaran tetapi menuntut kesediaan untuk membimbing dan membentuk anak-anak agar mampu menghadapi kehidupan dengan baik.
Setiap keputusan yang dibuat oleh seorang bapa adalah demi kesejahteraan keluarga, maka setiap usaha dilakukan dengan keikhlasan dan ketulusan.
Maka generasi muda perlu memahami bahawa menjadi bapa bukan hanya soal menyediakan keperluan asas, tetapi berkaitan dengan kepimpinan, didikan dan ketabahan dalam menghadapi pelbagai cabaran.
Jangan tunggu sehingga terlambat untuk menyatakan rasa terima kasih kepada mereka.
Selamat Hari Bapa kepada setiap individu hebat yang terus berjuang tanpa mengenal lelah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!