Hishammuddin terima respons positif rakan sejawat dari negara luar

Hishammuddin hadir menyampaikan amanat kepada warga kerja Kementerian Luar Negeri di Bangunan Wisma Putra 1 di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Hishammuddin hadir menyampaikan amanat kepada warga kerja Kementerian Luar Negeri di Bangunan Wisma Putra 1 di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menerima respons positif daripada rakan sejawatnya dari negara luar pada hari pertama beliau menerajui kementerian itu.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, beliau mendapat maklum daripada negara-negara luar yang tidak sabar untuk bekerjasama dengannya di peringkat antarabangsa.

“Sejak malam semalam saya dimaklumkan ada beberapa permintaan daripada menteri luar untuk berkomunikasi dengan saya dan hari ini sudah ada enam panggilan yang sudah ditetapkan.

“Mereka termasuklah Menteri Luar China, Wang Yi; Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu (UEA), Syeikh Abdullah Zayed; kepimpinan daripada Arab Saudi, Menteri Luar Singapura, Indonesia dan Thailand," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan amanat kepada warga kerja Kementerian Luar Negeri di Bangunan Wisma Putra 1 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Mohammad Shahrul Ikram Yaakob.

Hishammuddin berkata, sebagai Menteri Luar, apa yang penting adalah membawa mesej bahawa Malaysia mempunyai banyak potensi dan hubungan yang telah dibina dengan negara luar secara dua hala.

“Jadi kita kena uruskan hubungan dunia tanpa sempadan ketika ini dan juga geopolitik yang memerlukan diplomasi.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu jadikannya lebih baik pada masa akan datang,” katanya.