Akaun Facebook kongsi gambar murid perempuan sudah diarah tutup - Nie Ching

Nie Ching
Nie Ching
A
A
A

JOHOR BAHRU – Akaun Facebook dikenali sebagai ‘Grup Budak-budak Sekolah Rendah’ yang memuat naik gambar murid perempuan dengan unsur tidak senonoh telah diarahkan tutup oleh pihak berkuasa.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menghubungi syarikat induk laman sosial itu, Meta Platforms Inc (Meta) bagi mengambil tindakan segera terhadap akaun berkenaan.

“SKMM sudah berhubung dengan Meta dan akaun Facebook terbabit telah ditutup. Kita juga akan bekerjasama dengan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media merasmikan program Projek Membaca anjuran Kolej Universiti Selatan di pusat beli-belah Midvalley Southkey, di sini, pada Ahad.

Sebelum ini, seorang pempengaruh yang dikenali sebagai Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 28, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, susulan pendedahan kumpulan berkenaan.

Mekyun yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul, Pulau Pinang melahirkan rasa terkejut apabila mendapati gambarnya ketika zaman persekolahan turut dimuat naik tanpa kebenaran.

Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, SKMM sebelum ini telah bekerjasama dengan pihak polis untuk menurunkan lebih 40,000 kandungan berkaitan salah laku seksual terhadap kanak-kanak bawah umur sepanjang tahun lalu.

Tambah beliau, Kementerian Komunikasi turut melaksanakan Kempen Internet Selamat (KIS) bagi meningkatkan kesedaran dan keupayaan masyarakat dalam menangani isu keselamatan digital.

“Seramai 13 individu telah ditahan dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga menyeru agar ibu bapa dan penjaga lebih peka serta memantau penggunaan internet dalam kalangan anak-anak mereka.

“Sehingga kini, SKMM telah melaksanakan kempen itu di 53 buah sekolah membabitkan seramai 11,839 peserta terdiri daripada murid, pelajar, guru dan ibu bapa. Sasaran kita adalah untuk menjayakannya di 344 sekolah menjelang Ogos ini,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!